JOHOR BAHRU: Desakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) diadakan lebih awal didakwa berpunca daripada keyakinan parti itu sudah berada pada tahap kekuatan terbaik untuk kembali menerajui kerajaan.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata perkembangan itu turut dikaitkan dengan hasrat mempercepatkan persefahaman politik antara UMNO dan Pas.
Menurutnya, UMNO kini melihat peluang untuk membentuk kerajaan sendiri, sekali gus tidak mahu menangguhkan pilihan raya sekiranya parti itu merasakan momentumnya berada pada kemuncak.
“Jadi pada saya, ini semua kerana UMNO merasakan mereka sudah berada di puncak kekuatan yang mereka yakin boleh membentuk kerajaan sendiri.
“Persefahaman antara UMNO dan Pas tidak lagi boleh dilambatkan. Sebab itu mereka mahu pilihan raya diadakan segera. Saya yakin Zahid pun tidak sabar untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar Program Penerangan RCI Tabung Haji di Hotel Amerin, semalam.
Turut hadir Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa; Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Naib Pengerusi Amanah Johor, Suhaizan Kaiat.
Baru-baru ini, Ahmad Zahid menegaskan UMNO mahu PRU-16 disegerakan bagi mendapatkan semula mandat rakyat untuk memimpin negara.
Presiden UMNO itu menyifatkan pilihan raya akan datang sebagai penentu masa depan parti, termasuk usaha mengembalikan UMNO sebagai peneraju kerajaan, bukannya sekadar menjadi pelengkap dalam pentadbiran sedia ada.
Dalam perkembangan sama, Puad mendakwa terdapat perbezaan pendekatan antara Ahmad Zahid dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.
Katanya, Mohamad dilihat mengambil pendirian lebih berhati-hati dengan mengingatkan ahli parti supaya tidak terlalu bergantung kepada kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan.
Namun, beliau mendakwa Ahmad Zahid pula memberikan isyarat lebih terbuka mengenai arah kerjasama politik UMNO, termasuk melalui ungkapan “biru campur hijau” dalam ucapannya.
“Tetapi presiden seolah-olah tidak lagi mahu menoleh ke belakang, sebab itu dia hendak pilihan raya dipercepatkan.
“Dia pun sebut dengan jelas iaitu biru campur hijau. Pilih biru pekat, jangan pilih biru cair yang saya faham ialah PKR,” katanya.










