PUTRAJAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom didakwa atas tiga pertuduhan menyebabkan Lembaga Tabung Haji (TH) melupuskan wang miliknya berjumlah keseluruhan RM860.3 juta kepada syarikat berkaitan Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co. Ltd. antara 2015 hingga 2017.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan pertama, Jamil Khir didakwa pada 3 April 2015 secara tidak jujur menyebabkan TH melupuskan RM42.94 juta kepada Al-Rawda Real Estate Development And Projects Management Co. Ltd.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa melakukan perbuatan sama pada 14 Disember 2016 membabitkan RM288.17 juta kepada Al-Rawda Investment for Real Estate Development and Projects Management Co. Ltd.
Pertuduhan ketiga pula membabitkan RM529.19 juta yang didakwa dilupuskan kepada syarikat sama pada 17 Ogos 2017.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan ketika Jamil Khir memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Putrajaya.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan dan Nurul Qistini Qamarul Abrar, manakala pasukan pembelaan diketuai Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Pendakwaan memohon jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah, namun pembelaan memohon jumlah RM300,000 atas alasan jaminan hanya bertujuan memastikan kehadiran tertuduh dan tidak seharusnya bersifat menghukum.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM300,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin warga Malaysia, selain pasport atau dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 5 November 2026 bagi sebutan kes dan serahan dokumen.










