Anwar Gesa Pembiayaan Global Lebih Adil, Negara Membangun Tidak Wajar Terperangkap Hutang

NEW DELHI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada negara sepatutnya dipaksa memilih antara membayar hutang dan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, susulan tekanan kewangan yang semakin membebankan negara membangun.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sebahagian negara kini berdepan risiko hutang tinggi sehingga perbelanjaan membayar faedah mengatasi peruntukan pendidikan dan kesihatan.

“Tiada negara sepatutnya dipaksa memilih antara melunaskan hutang dan menunaikan tanggungjawabnya kepada rakyat,” katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara mengenai Membentuk Masa Depan ke arah Pertumbuhan Global yang Inklusif pada penghujung Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18.

Beliau menggesa pembiayaan antarabangsa disesuaikan dengan keperluan setiap negara, termasuk memastikan usaha menyediakan kemudahan awam dan memenuhi keperluan asas tidak membawa kepada beban hutang yang tidak mampan.

Anwar turut menekankan kepentingan modal komersial yang ditawarkan menerusi terma munasabah, di samping menggalakkan kemajuan dalam inisiatif New Development Bank, mekanisme penyelesaian mata wang tempatan dan potensi pasaran modal Islam.

Dalam pada itu, beliau menyeru negara anggota BRICS mengambil langkah konkrit bagi membanteras amalan perdagangan tidak adil serta memperluas kerjasama pembangunan, latihan dan perkongsian kepakaran dalam bidang strategik termasuk semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).

Mengenai peralihan hijau, Anwar berkata setiap negara perlu diberi ruang menentukan kadar dan pendekatan masing-masing berdasarkan keadaan serta tahap pembangunan, termasuk meneroka teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon.

Beliau menyifatkan BRICS sebagai platform yang mempunyai kelebihan geoekonomi penting, dengan pasaran bersepadu yang luas berupaya mempelbagaikan perdagangan dan mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran Barat tradisional.

“Sinergi yang diwujudkan dan dimanfaatkan secara optimum akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran bersama,” katanya.

Menyentuh konflik Asia Barat, Anwar berkata usaha membina pertumbuhan global yang inklusif tidak boleh dipisahkan daripada keperluan menghentikan peperangan yang menjejaskan harga tenaga dan laluan perkapalan dunia.

Beliau menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian bahawa kedaulatan negara mesti dihormati, orang awam dilindungi dan laluan perdagangan antarabangsa tidak boleh dijadikan medan peperangan.

“Pihak yang mempunyai keupayaan terbesar untuk mempengaruhi perkembangan mempunyai tanggungjawab khusus untuk mencegah konflik daripada terus meningkat,” katanya.

Anwar turut berharap BRICS menyatakan pendirian jelas bahawa pendudukan, kolonialisme peneroka dan apa yang disifatkannya sebagai ‘keganasan peneroka’ tidak boleh dianggap sebagai suatu takdir.

Beliau berkata, BRICS mampu memperluas pilihan dan memperkukuh keupayaan negara anggota menentukan masa depan masing-masing, namun pengaruh bukanlah matlamat mutlak.

“Bagi Malaysia, autonomi strategik bermakna kebebasan untuk menentukan haluan sendiri dan keberanian untuk mempertahankan pilihan itu apabila diperlukan. Sebagai Negara Rakan BRICS, Malaysia berharap dapat menyumbang dalam semangat itu,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles