AMANAH Gesa Anwar Abaikan Desakan PRU Awal, Kekalkan Kerajaan Hingga Akhir Penggal

JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tidak tunduk kepada desakan UMNO untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) lebih awal, sebaliknya memastikan Kerajaan Perpaduan terus bertahan sehingga tamat penggal.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, baki tempoh lebih setahun sebelum penggal berakhir perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyelesaikan pelbagai isu berkaitan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, kerajaan tidak wajar mengorbankan agenda pembangunan serta kepentingan rakyat semata-mata untuk memenuhi tuntutan mana-mana parti yang mahukan PRU disegerakan.

“Dalam masa setahun lebih ini, banyak yang boleh kita lakukan untuk selesaikan isu-isu ekonomi, kesejahteraan hidup rakyat dan sebagainya.

“Jadi, saya tidak fikir kerajaan hari ini bersedia untuk mengorbankan semua itu hanya kerana terdesak dengan UMNO yang minta supaya diadakan pilihan raya awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Penerangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) #Stand4RCITH di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan; Naib Pengerusi AMANAH Johor, Suhaizan Kayat dan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Mengulas mengenai kelangsungan Kerajaan Perpaduan, Mujahid berkata, kerjasama politik yang dibentuk pada 2022 berasaskan persetujuan bersama serta syarat yang dipersetujui semua pihak.

Katanya, Anwar tidak dilihat mempunyai hasrat untuk menyingkirkan mana-mana pemimpin parti dalam kerajaan, namun keputusan untuk meninggalkan gabungan itu merupakan hak pihak yang berkenaan.

“Saya tidak fikir juga Perdana Menteri berniat untuk membuang sesiapa, tetapi kalau dia (UMNO) nak pergi, tak ada siapa nak halanglah. Itu saja,” katanya.

Dalam pada itu, Mujahid menegaskan AMANAH tidak mengambil mudah kemungkinan PRU diadakan pada bila-bila masa, malah persiapan menghadapi pilihan raya sudah lama digerakkan.

“Lama dah kami bersedia. Kami sudah menggerakkan semua program-program, kami dah siapkan semua.

“Tetapi, bagi kami sama macam yang lain, kami menganggap memenuhi penggal itu adalah lebih utama,” katanya.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar pihak yang mahu parti itu meninggalkan Kerajaan Perpaduan supaya Dewan Rakyat dibubarkan, selain menegaskan sebarang perubahan kerajaan perlu dikembalikan kepada mandat rakyat.

BBerkaitan

Latest articles