Mujahid Sedia Beri Keterangan SPRM Berhubung Isu Tabung Haji

JOHOR BAHRU: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan kesediaannya untuk dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).

Timbalan Presiden Amanah itu berkata, beliau bagaimanapun masih belum menerima sebarang notis rasmi atau kunjungan pihak SPRM setakat ini.

“Saya tidak berdepan sebarang masalah untuk hadir ke pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.

“Saya sudah lama bersedia, tak ada masalah. Cuma setakat ini, tiada sebarang notis dikeluarkan,” katanya kepada pemberita selepas Program Penerangan RCI TH, hari ini.

Mujahid berkata, siasatan semasa perlu dilihat berdasarkan 14 kes yang dirujuk untuk tindakan lanjut, termasuk hampir separuh daripadanya yang telah dilaporkan kepada polis ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Menurutnya, laporan berkenaan dibuat ketika proses pemulihan TH dijalankan, namun tiada tindakan susulan sehingga berlaku perubahan kerajaan.

“Laporan polis telah pun dibuat pada zaman itu, tetapi tiada tindakan susulan sehinggalah berlaku perubahan kerajaan.

“Jadi hari ini, nampaknya usaha berkenaan diteruskan melalui laporan RCI yang ada,” katanya.

Pendedahan laporan RCI TH pada Julai lalu mencetuskan beberapa siri siasatan dan tindakan undang-undang terhadap individu yang dikenal pasti.

Setakat ini, empat individu telah didakwa di mahkamah, manakala beberapa lagi termasuk bekas pengurusan kanan TH dan seorang bekas menteri ditahan serta direman bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Mujahid menegaskan siri jelajah penerangan RCI TH yang dilaksanakannya tidak bertujuan mengganggu prosiding mahkamah, sebaliknya memberi kesedaran awam mengenai kepentingan mencegah salah urus tadbir.

Katanya, laporan RCI perlu difahami masyarakat supaya kelemahan sama tidak berulang di TH atau institusi lain.

“Mahkamah kita tak kacau, cuma yang wajar kita buat ialah mengambil pengajaran.

“RCI ini satu perkara besar kerana telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles