KUALA LUMPUR: UMNO tidak perlu menunggu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyingkirkan parti itu daripada Kerajaan Perpaduan jika mahu menarik diri, sebaliknya mempunyai sekurang-kurangnya tiga pilihan untuk berbuat demikian.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pilihan berkenaan termasuk menarik balik sokongan Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN), meletakkan jawatan menteri UMNO daripada Kabinet atau mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri apabila Parlimen bersidang pada 5 Oktober ini.
Katanya, semua tindakan itu mempunyai saluran perlembagaan dan Parlimen tanpa memerlukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunggu keputusan Anwar.
“Kerajaan Perpaduan ini bukanlah gabungan rasmi, sebaliknya longgar dan bila-bila masa boleh tarik diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, tindakan berbalas ugutan antara UMNO dan kerajaan tidak wajar kerana rakyat turut menilai perkembangan politik semasa.
Hassan mengulas laporan bahawa UMNO memberi kata dua kepada Kerajaan Perpaduan sama ada mendapatkan semula mandat melalui Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) atau menyingkirkan parti itu secara rasmi.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik UiTM, Mujibu Abd Muis berkata, kerajaan masih berpotensi bertahan sekiranya BN menarik sokongan, dengan anggaran 120 kerusi berbanding 112 kerusi diperlukan untuk majoriti mudah.
Bagaimanapun, katanya, margin yang tipis itu menjadikan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) amat penting, terutama ketika kelulusan belanjawan dan urusan kerajaan.
“Jika GPS dan GRS turut menarik sokongan, kerajaan boleh kehilangan 30 lagi kerusi dan angkanya turun kepada sekitar 90, sekali gus hilang majoriti mudah,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu menjadikan GPS dan GRS sebagai antara penentu utama kelangsungan kerajaan, dengan isu MA63, autonomi negeri, peruntukan pembangunan dan kepentingan Sabah serta Sarawak berpotensi mempengaruhi pendirian kedua-dua parti berkenaan.










