​KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencetuskan gagasan ‘Tekad 16’ sebagai komitmen dan hala tuju parti dalam bersiap sedia mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
​Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, gagasan tersebut merangkumi lima teras utama bagi memantapkan jentera serta strategi parti.
​”Di hari akhir ini, mari kita sama-sama bersetuju untuk kita mewujudkan Tekad 16… iaitu PRU16.
​”Apa tekad kita? T – Teguhkan parti, E – Eratkan saf, K – Kuasai medan, A – Anjalkan strategi, D – Dekati rakyat.
​”Mudah-mudahan Tekad 16 ini menjadi program rasmi kita menjelang Pilihan Raya Umum yang ke-16,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.
​Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang menjayakan program-program sampingan sepanjang persidangan berlangsung, antaranya penganjuran Mulaqa Ulama oleh Majlis Ulama UMNO serta Kongres Pendidikan Nasional 2.0 di bawah Sekretariat Pendidikan dan Latihan UMNO yang dipimpin Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
​Dalam pada itu, beliau turut mencuri tumpuan apabila sempat bergurau mengarahkan para peniaga dan pameran di gerai jualan (reruai) WTCKL memberikan potongan harga bersempena hari terakhir persidangan.
​”Saya belum mengarahkan penjual-penjual itu untuk menutup reruai mereka, tetapi dengan ini saya mengarahkan mulai jam 7 malam hingga tertutup, bahawa mana-mana yang mengunjungi reruai atau gerai berkenaan diberikan diskaun 50 peratus,” selorohnya yang disambut gelak tawa dan sorakan para perwakilan.










