KUALA LUMPUR: UMNO menegaskan pendirian untuk terus kekal berada di dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat tempoh penggal pentadbiran
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu selaras dengan resolusi yang telah disepakati dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebelum ini dan parti tidak pernah berhasrat menyanggah mana-mana susuk tubuh pentadbiran, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pendirian kita, kita tidak menyanggah mana-mana susuk tubuh terutamanya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana resolusi yang dibuat di dalam Perhimpunan Agung UMNO harus dihormati bahawa kita terus bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang ada ini hingga akhir penggal,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada Sabtu.
Mengulas lanjut berhubung suara atau perbezaan pendapat daripada perwakilan mahupun kepimpinan sayap parti, beliau menegaskan bahawa UMNO mengambil sikap terbuka dan menghormati pandangan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan sebarang pendirian rasmi parti hanya sah sekiranya dikeluarkan menerusi saluran rasmi kepimpinan tertinggi.
“Bagi kami di peringkat kepimpinan, sebarang pendirian rasmi adalah jika sesuatu keputusan itu kami keluarkan secara rasmi melalui kenyataan media daripada Setiausaha Agung atau saya sendiri.
“Kita juga adalah anggota Jemaah Menteri dan kepimpinan parti yang profesional.
“Jika kita boleh menghormati perbezaan pandangan ketika kongres dan konvensyen rakan parti diadakan, maka mereka juga pasti boleh menghormati perbezaan pandangan yang dikemukakan oleh jurucakap sayap-sayap dari negeri-negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengesahkan bahawa Agenda Malaysia Biru yang dibentangkan beliau dalam ucapan dasar akan dijadikan landasan utama tawaran parti kepada seluruh rakyat Malaysia.
Jelas Timbalan Perdana Menteri itu lagi, lapan agenda besar yang terkandung di dalam kerangka tersebut akan diserapkan sebagai elemen utama dalam penyediaan Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Agenda Malaysia Biru kita jadikan sebagai landasan utama untuk ditawarkan bukan sahaja kepada ahli-ahli tetapi kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.
“Kita berazam menjadikannya sandaran pelaksanaan dan bagi Manifesto BN, kita akan masukkan ini sebagai elemen utama,” ujarnya.
Tambah beliau, elemen itu akan dimuktamadkan secara rasmi selepas perbincangan lanjut diadakan bersama kepimpinan rakan komponen BN serta rakan sekutu parti (Friends of BN).
Ahmad Zahid turut mengingatkan pihak-pihak berkenaan agar tidak mempolemikkan tawaran dasar yang dikemukakan kerana ia merupakan komitmen serta hala tuju jelas parti kepada rakyat.










