Kuasa Pengampunan Mutlak Di Tangan Agong, Kata Hannah

KUALA LUMPUR: Kuasa memberikan pengampunan adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Beliau berkata, sebarang penjelasan lanjut mengenai perkara itu sudah diperincikan dalam kenyataan media Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.

Hannah menegaskan beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengulas atau mengeluarkan sebarang kenyataan bagi pihak Lembaga Pengampunan.

“Saya tidak mempunyai kuasa untuk berbincang atau mengeluarkan kenyataan bagi pihak Lembaga Pengampunan.

“Saya hanya boleh menyatakan bahawa saya hadir (dalam mesyuarat) bersama Peguam Negara. Itu sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Fiesta Pasar Malam, hari ini.

Ditanya mengenai tarikh mesyuarat Lembaga Pengampunan seterusnya, Hannah berkata anggota lembaga berkenaan akan dimaklumkan apabila mesyuarat dipanggil.

“Kita akan dimaklumkan. Apabila mesyuarat itu dipanggil, itu sahaja yang boleh saya jawab.

“Kuasa mutlak untuk memberikan pengampunan adalah milik Yang di-Pertuan Agong, jadi kita perlu menunggu,” katanya.

Kenyataan Hannah itu hadir selepas BHEUU sebelum ini memaklumkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan dibawa ke mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang selepas tidak diputuskan dalam mesyuarat yang berlangsung baru-baru ini.

BBerkaitan

Latest articles