UMNO Terus Rayu Pengampunan Penuh Najib

KUALA LUMPUR: UMNO terus mengangkat suara memohon pengampunan penuh buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, susulan keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang menangguhkan pertimbangan permohonan berkenaan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO merafak sembah memohon limpah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, agar permohonan itu dipertimbangkan dengan penuh kebijaksanaan.

“Dengan rendah hati, kami di PAU merafak sembah memohon limpah ehsan agar diberikan pertimbangan pengampunan sepenuhnya kepada Najib.

“UMNO menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan dan budi bicara Tuanku,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, hari ini.

Zahid berkata, permohonan itu dibuat dengan penuh hormat terhadap institusi Raja-Raja Melayu serta prinsip Raja Berperlembagaan.

Terdahulu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri memaklumkan permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung di Istana Negara, semalam.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong dan turut menyaksikan perkenan pembebasan 65 banduan.

Bagaimanapun, kenyataan rasmi itu tidak menyatakan tarikh mesyuarat Lembaga Pengampunan seterusnya.

Najib kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Permohonan terbaharu itu turut mendapat perhatian susulan isu tahanan rumah yang pernah dibangkitkan oleh pihak Najib.

BBerkaitan

Latest articles