​KUALA LUMPUR: UMNO menegaskan parti itu tidak pernah gentar atau tunduk kepada sebarang desakan yang meminta mereka keluar daripada Kerajaan Perpaduan, sebaliknya mencabar pihak berkenaan untuk memulangkan semula mandat kepada rakyat melalui Pilihan Raya Umum (PRU).
​Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika asas pembentukan kerajaan gabungan itu terus dipertikaikan, maka adalah lebih wajar untuk mengembalikan hak memilih kepada rakyat secara meyakinkan.
​”Pilihan cuma ada dua. Satu, dapatkan semula mandat baru dengan mengadakan pilihan raya umum.
“Kedua, keluarkan kami secara rasmi dan buat undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
​”Ada beranikah? Kalau berani, buatlah cepat! Kalau berani, bubarlah cepat!” tegas beliau dengan nada lantang sambil disambut sorakan gemuruh para perwakilan.
​Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) pada Sabtu.
​Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memperingatkan bahawa kerjasama politik yang terjalin dalam mentadbir negara dibentuk atas amanah kebajikan dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong demi mewujudkan kestabilan pentadbiran demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.
​Namun begitu, beliau mengulangi ketegasan bahawa penyertaan UMNO dalam kerajaan tidak bermakna parti berkenaan mengada atau menyerahkan prinsip persyarakatan mereka.
​”Kerjasama bukan penyerahan! Saya ulang, kerjasama bukan penyerahan!
​”Kita boleh bekerjasama tanpa kehilangan identiti, berunding tanpa mengadaikan prinsip dan mencari persamaan sambil menghormati perbedaan,” katanya.
​Menyentuh spekulasi pihak luar yang mendakwa UMNO akan ditinggalkan selepas ditagih sokongannya, Ahmad Zahid menepis dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai pandangan dangkal.
​”Ini senang-senang… wah, habis madu sepah dibuang? Tengok, buat cepat, tengok macam mana.
​”Ingatlah, kerjasama mentadbir negara tidak bermakna menyerahkan masa depan parti. UMNO dan Barisan Nasional (BN) mahu mewujudkan kestabilan demi rakyat, namun prinsip dan hala tuju parti tetap menjadi keutamaan kita,” ujar beliau lagi.










