Tingkat Ketahanan Rakyat Hadapi Ancaman Hibrid, Perang Kognitif – Khaled Nordin

​KUALA LUMPUR: UMNO memberikan jaminan akan bersama-sama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membina ketahanan rakyat bagi menghadapi pelbagai bentuk ancaman pertahanan moden yang semakin kompleks.

​Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bentuk ancaman keselamatan negara kini tidak lagi bersifat konvensional atau tradisional semata-mata, sebaliknya telah berubah kepada ancaman hibrid.

​Menurut beliau, ini merangkumi perang kognitif yang menggunakan strategi terancang bagi mempengaruhi cara masyarakat berfikir, menilai maklumat, membuat keputusan dan bertindak.

​”Ancaman ini dilakukan secara sistematik melalui salah maklumat, berita palsu, propaganda digital, eksploitasi algoritma mahupun operasi psikologi.

​”Tujuannya adalah untuk mewujudkan ketidakstabilan sosial, mencetuskan polarisasi, perpecahan dan ketidakharmonian dalam masyarakat,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Sabtu.

​Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi menegaskan, perang kognitif amat berbahaya kerana ia boleh digunakan hingga ke tahap melunturkan identiti bangsa termasuk masyarakat Melayu serta mencetuskan perbalahan agama dan kaum.

​Justeru katanya, perkembangan ancaman hibrid berkenaan menuntut Kementerian Pertahanan menyusun strategi yang tepat dan terpadu bagi menghadapinya.

​”Hari ini pertahanan negara tidak cukup dengan kita hanya memiliki aset yang canggih atau kesiapsiagaan anggota tentera semata-mata. Yang penting, kita perlu membangunkan ketahanan rakyat.

​”Ketahanan rakyat adalah satu pencegahan kredibel yang mampu menjadi benteng dan perisai kuat kepada negara apabila berhadapan dengan ancaman.

“Kita boleh lihat bagaimana negara seperti Iran dan Ukraine tidak mudah goyah atau dipecah-belahkan apabila diserang,” jelas beliau.

​Sehubungan itu, beliau menyeru agar seluruh barisan kepimpinan dan ahli UMNO memainkan peranan sebagai perantara masyarakat untuk memupuk semangat patriotisme, perpaduan dan kecintaan kepada negara.

​”Kita bukan nak suruh rakyat angkat senjata, tetapi kita mahu rakyat diasuh dan dipupuk sikap serta nilai yang betul untuk mengurus ancaman dan cabaran.

​”Sebagai penghargaan UMNO kepada ATM selaku perwira negara, wajar UMNO memberi jaminan kepada angkatan tentera bahawa UMNO akan bersama-sama membantu membina ketahanan rakyat.

​”UMNO akan memastikan wujudnya kesedaran rakyat bahawa tanggungjawab mempertahankan negara bukan tanggungjawab ATM semata-mata, tetapi adalah tanggungjawab bersama,” tegasnya.
​
​Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan dan Peraturan UMNO memaklumkan mengenai usul meminda dan menaikkan had umur keahlian Puteri UMNO kepada 35 tahun.

​Beliau menjelaskan, walaupun usul tersebut mendapat sokongan kuat daripada pergerakan berkenaan, keputusan berhubung perkara itu hanya akan dimuktamadkan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

​”Parti sedar ia adalah usul yang perlu dilihat secara keseluruhan kerana ia bukan sahaja memberi perubahan kepada Puteri, tetapi turut memberi kesan kepada Wanita dan impak kepada parti secara keseluruhannya.

​”Maka parti mengambil ketetapan untuk memutuskan usul tersebut selepas PRU. Ini kerana kita mahu memastikan semua pihak memberi penuh perhatian dan fokus kepada usaha memenangi pilihan raya,” katanya sambil memberi jaminan jawatankuasanya akan mengemukakan penyelesaian win-win (menang-menang) kepada kedua-dua sayap berkenaan kelak.

BBerkaitan

Latest articles