PAU 2026: Melaka Sedia ‘Membiru’

​KUALA LUMPUR: Perwakilan UMNO Melaka, Senator Datuk Dr Mustafa Musa mengikrarkan komitmen negeri itu untuk mempertahankan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi sebelum ini serta menyemarakkan semula gelombang sokongan Barisan Nasional (BN).

​Beliau berkata, gelombang kemenangan yang bermula dari Johor Bahru dan Negeri Sembilan bakal diteruskan di Melaka bagi menawan semula sokongan rakyat.

​”Hari ini adalah hari Melaka untuk kita sama-sama gelombang biru. Gelombang daripada Johor Bahru, gelombang daripada Negeri Sembilan akan berarak membirukan Negeri Melaka.

​”Kini tibalah masanya tangan dan obor perjuangan ini membawa Melaka sebagai bermulanya penobatan semula kemenangan Barisan Nasional untuk membirukan Malaysia hingga menawan Putrajaya,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), hari ini.

​Mengulas mengenai Ucapan Dasar Presiden, Mustafa menarik perhatian kepada tiga perkara utama yang menjadi fokus perjuangan, iaitu menangani kos sara hidup, memenangi sokongan anak muda, serta mempertahankan kedaulatan dan perpaduan kaum.

​Jelas beliau, pendekatan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh melalui pelbagai inisiatif seperti program ‘Melaka Sayang Rakyat’ dan ‘Wakil Rakyat Untuk Rakyat’ telah membuktikan keprihatinan pentadbiran BN dalam membela nasib rakyat.

​”Program ini telah mensasarkan lebih 1,900 program di 28 DUN, menyelesaikan lebih 3,800 aduan dan mengumpul lebih 5,000 aduan yang diselesaikan secara on-the-spot mahupun berperingkat.

​”Tiada protokol yang membatasi pergerakan wakil rakyat. Wakil rakyat perlu menjaga dan memahami kesusahan rakyat sebelum boleh menjadi wakil rakyat yang baik,” tegasnya.

​Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan mendekati golongan muda yang menjadi peneraju masa depan parti dan negara.

​”Anak muda bukan penonton kepada kejayaan, tetapi anak muda harus bersama-sama dibawa untuk membina kejayaan.

​”Gelombang undi anak muda kini berubah mengikut apa yang mereka tafsir dan nilaikan. Justeru, pelaksanaan Karnival Anak Muda yang menghimpunkan hampir 100,000 golongan belia membuktikan BN komited menyelami denyut nadi mereka,” tambahnya.

BBerkaitan

Latest articles