KUALA LUMPUR: Gagasan Malaysia Biru yang diketengahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dijangka menjadi antara teras utama manifesto Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, gagasan berkenaan bukan sekadar slogan politik, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada usaha dan dasar yang mampu menjamin keamanan, kestabilan serta kemakmuran negara.
Menurutnya, perkara itu antara mesej penting yang dibawa dalam ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, selain usaha memperkukuh kedudukan UMNO dan BN sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.
“Malaysia Biru itu apa yang kita mahu bawa untuk negara kita bagi menghadapi cabaran-cabaran yang ada pada hari ini.
“Kelapan-lapan cabaran itu sangat penting untuk memastikan negara kita sentiasa aman dan stabil, selain kesungguhan kita berhadapan cabaran mutakhir,” katanya ketika ditemui pemberita di Perhimpunan Agung (PAU) UMNO 2026, hari ini.
Zambry berkata, antara cabaran yang perlu diberikan perhatian serius ialah perkembangan geopolitik dunia yang semakin tidak menentu dan berpotensi memberi kesan terhadap keselamatan serta kestabilan Malaysia.
Katanya, pengalaman UMNO dan BN yang pernah menerajui pentadbiran negara selama puluhan tahun perlu dimanfaatkan untuk merangka pendekatan lebih menyeluruh dalam menghadapi cabaran masa depan.
“Apabila kita membicarakan soal politik, dalam masa yang sama kita juga perlu memikirkan soal negara. Jangan lupa perkara itu.
“UMNO yang sudah berusia 80 tahun perlu melihat ke hadapan dan memastikan Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan stabil,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Perak, Zambry yang juga Ahli Parlimen Tambun enggan membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan perkara itu kepada Menteri Besar Perak.
“Saya tidak boleh beritahu. Kamu kena tanya Menteri Besar Perak,” katanya ringkas.
Mengenai perbahasan perwakilan negeri pada PAU kali ini, Zambry berkata, selain isu politik parti dan negara, wakil negeri turut mengetengahkan kepentingan serta keperluan negeri masing-masing.
Beliau berkata, perkara itu termasuk cadangan dan permintaan supaya isu tertentu diberi perhatian oleh kepimpinan parti.
Sementara itu, Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, kerajaan kini sedang mengadakan siri perbincangan dengan pelbagai pihak bagi menggubal akta baharu yang akan menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Katanya, proses itu perlu dilakukan secara menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua kelompok berkepentingan termasuk golongan akademik, pentadbir universiti dan mahasiswa.
“Saya tidak mahu mana-mana kumpulan tertinggal apabila kita mahu mewujudkan akta baharu bagi menggantikan AUKU.
“Saya sudah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan kelompok akademik dan pentadbir, termasuk pentadbir yang bukan dalam kategori A. Dalam beberapa hari lagi saya akan bertemu pula dengan kumpulan lain,” katanya.
Menurutnya, kumpulan mahasiswa turut diberikan ruang untuk menyumbang pandangan, termasuk melalui Majlis Perwakilan Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan.
Katanya, pandangan daripada kelompok yang bersetuju mahupun tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan perlu dihimpunkan bagi memastikan akta baharu itu benar-benar komprehensif.
“Kita mahu mewujudkan sebuah akta baharu bukan untuk masa kini sahaja, tetapi untuk masa hadapan negara. Bila kita merancang, kita perlu merancang untuk masa depan,” katanya.
Zambry berkata, AUKU yang telah berusia 54 tahun perlu dinilai semula mengambil kira perubahan landskap pendidikan tinggi dan keperluan semasa.
Beliau berkata, akta baharu itu bukan hanya perlu mengambil kira aspek berkaitan mahasiswa, malah turut merangkumi perkara berkaitan penubuhan universiti serta tadbir urus institusi pengajian tinggi.
“Perdana Menteri juga sudah menyatakan ‘no more AUKU’, begitu juga Presiden UMNO dalam ucapan beliau semalam. Kita akan wujudkan sebuah akta baharu yang komprehensif,” katanya.










