​PAU 2026: UMNO Wilayah Persekutuan Tubuh Jabatan Pengundi Luar, Sasar Rampas Semula Kerusi Tradisi

​KUALA LUMPUR: UMNO tidak boleh lagi membiarkan kawasan bandar terus terlepas dari penguasanya, sebaliknya perlu menawan semula hati warga kota yang sebahagian besarnya menetap di ibu negara tetapi mengundi di luar kawasan.

​Perwakilan UMNO Wilayah Persekutuan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepong, TPr Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pelbagai usaha perlu disusun termasuk inisiatif mewujudkan Jabatan Pengundi Luar bagi memastikan jaringan perhubungan pengundi di bandar dapat diperkemaskan.

​”Sebagai parti yang dominan di tanah air, UMNO tidak boleh menyerah kalah di kawasan-kawasan bandar ini.

“Kita perlu menawan semula hati warga urban yang sebahagian besarnya menetap dan bekerja di Kuala Lumpur, tetapi ramai di antara mereka masih memilih untuk mengundi di kampung atau luar bandar.

​”Sebab itu alhamdulillah, UMNO Wilayah Persekutuan telah mengendalikan satu Jabatan Pengundi Luar. Jabatan ini telah pun beroperasi dan membantu dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

​Mengulas mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Abdul Razak mendesak agar kerusi-kerusi tradisi Barisan Nasional (BN) di Wilayah Persekutuan dipastikan bertanding dan dirampas semula.

​”Dalam rundingan kita mendepani PRU16 akan datang, kita kena pastikan bahawa kerusi tradisi kita selain Titiwangsa seperti Putrajaya, Labuan, Bandar Tun Razak, Lembah Pantai, Wangsa Maju, Setiawangsa, dan Parlimen Batu yang ada 55 peratus pengundi Melayu hendaklah dipastikan kita bertanding.

​”Insya-Allah, Barisan Nasional akan rampas semula kerusi-kerusi ini,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles