​KUALA LUMPUR: UMNO Wilayah Persekutuan menyelar sikap serta kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh, yang disifatkan tidak membawa sebarang perubahan berkesan dalam menyelesaikan kemelut bebanan hidup serta lambakan warga asing di ibu kota.
​Perwakilan UMNO Wilayah Persekutuan, TPr Abdul Razak Abdul Rahman menegaskan, reaksi Hannah Yeoh menerusi wawancara bersama akhbar Singapura, The Straits Times baru-baru ini yang menggambarkan Wilayah Persekutuan kononnya ibarat ‘neraka’ (hell) ketika era pemerintahan Barisan Nasional (BN) adalah tidak munasabah dan cuba menafikan realiti sebenar.
​Abdul Razak yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepong berkata, hakikatnya pentadbiran hari ini gagal menangani isu teras perbandaran, khusus berkaitan kebanjiran etnik Rohingya dan Pendatang Tanpa Izin (PATI) yang semakin tidak terkawal di sekitar ibu kota.
​”Beliau (Hannah Yeoh) mendakwa dalam wawancaranya bersama The Straits Times kononnya Wilayah Persekutuan dulu ibarat neraka ketika BN memerintah. Tetapi apa yang beliau buat sekarang? Seronok bercakap kepada media luar negara, namun kebanjiran Rohingya dan PATI di Wilayah Persekutuan langsung gagal diselesaikan.
​”Rakyat di bawah hari ini terpaksa berdepan pelbagai masalah sosial dan persaingan ekonomi dengan pendatang asing, manakala menteri berkenaan seolah-olah tiada tindakan konkrit dibuat,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Sabtu.
​Menurut beliau, perbandingan yang dibuat oleh pemimpin DAP itu bertentangan dengan pencapaian era BN yang sentiasa memperjuangkan dasar perumahan mampu milik serta kesejahteraan warga kota, terutamanya golongan B40 dan M40.
​Abdul Razak turut menyentuh mengenai cadangan penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) serta desakan pilihan raya PBT di ibu kota yang sering ditiupkan oleh pemimpin DAP.
​Beliau memberi amaran bahawa UMNO Wilayah Persekutuan tidak akan kompromi dan telah menetapkan garis merah (red line) demi mempertahankan hak serta pemilikan tanah orang Melayu di Kuala Lumpur.
​”UMNO Wilayah Persekutuan melalui Pengerusi Perhubungan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah meletakkan satu garis merah yang tidak boleh sama sekali dilangkah.
​”Pembangunan di Kuala Lumpur tidak boleh sama sekali mengorbankan hak dan warisan pemilikan tanah orang Melayu seperti di Kampung Baru serta kawasan penempatan lain. Kita mahukan pembangunan inklusif, bukannya gentrifikasi yang sedikit demi sedikit menghalau orang Melayu keluar ke pinggir bandar,” tegasnya.
​​Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan agar memberikan tumpuan serius kepada isu sara hidup warga kota yang semakin mencekik rakyat.
​Jelasnya, lebih 50 peratus daripada pendapatan bulanan penduduk di bandar raya ini terpaksa dihabiskan semata-mata untuk membayar sewa atau ansuran bulanan rumah.
​”Inilah realiti suara Melayu bandar. Kalau dulu zaman BN kita ada sediakan rumah kos rendah dengan bayaran serendah RM124 sebulan, sekarang projek sedemikian sudah tiada.
​”Rumah mampu milik yang ada hari ini harganya terlalu tinggi dan mencekik poket rakyat. Kita tidak mahu dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang, orang Melayu sekadar menjadi penumpang di tanah lahir sendiri,” katanya lagi.










