55 Rakyat Malaysia Masih Hilang Di Nepal, Tiada Petunjuk Baharu

KUALA LUMPUR: Harapan untuk mengesan 55 rakyat Malaysia yang masih hilang selepas bencana banjir besar di Nepal terus berdepan jalan buntu apabila tiada sebarang petunjuk baharu mengenai nasib mereka ditemukan setakat ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, lokasi terakhir telefon bimbit kesemua mereka dikesan adalah di kawasan yang mengalami kemusnahan teruk akibat bencana berkenaan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan usaha mencari masih diteruskan, manakala pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dijangka menamatkan tugasan mereka dan kembali ke tanah air hari ini atau esok.

“Setakat ini, tiada perkembangan atau petunjuk mengenai 55 rakyat Malaysia yang masih hilang.

“Lokasi terakhir telefon mereka dikesan berada di kawasan terjejas teruk akibat bencana itu,” katanya ketika ditemui ketika mengadakan kunjungan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026, hari ini.

Mohamad berkata, pihak berkuasa Nepal juga belum bercadang menghentikan operasi mencari dan menyelamat berikutan kira-kira 5,000 individu masih belum dapat dikesan.

Menurutnya, semua dron yang dibawa dari Malaysia oleh pasukan SMART akan diserahkan kepada pasukan penyelamat Nepal supaya aset berkenaan dapat terus digunakan dalam usaha mengesan mangsa.

Dalam masa sama, katanya, Kedutaan Malaysia di Kathmandu sedang berunding dengan Kementerian Luar serta Kementerian Undang-undang Nepal bagi mendapatkan kepastian berhubung status 55 rakyat Malaysia terbabit.

Jelas beliau, perkara itu penting bagi membantu waris mendapatkan dokumen rasmi yang diperlukan untuk urusan insurans dan tuntutan berkaitan sekiranya individu berkenaan disahkan meninggal dunia.

“Undang-undang Nepal menetapkan sijil kematian bagi individu yang hilang boleh dikeluarkan selepas tiga tahun, berbanding tujuh tahun di Malaysia,” katanya.

Mohamad berkata, Malaysia turut berusaha mendapatkan persetujuan pihak berkuasa Nepal supaya sampel DNA mangsa yang ditemui boleh dihantar ke Kuala Lumpur bagi menjalani proses padanan dengan sampel DNA waris.

Usaha itu perlu dilakukan berikutan Nepal ketika ini berdepan kekangan dari segi kemudahan serta peralatan untuk menjalankan proses pemadanan DNA.

Kerajaan Malaysia sebelum ini mengerahkan SMART bagi membantu operasi mencari dan menyelamat susulan bencana banjir besar yang melanda Nepal, khususnya bagi mengesan rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang dalam kejadian berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles