Kerjasama UMNO, PH Hanya Terpakai Hingga Parlimen Bubar – Asyraf Wajdi

​KUALA LUMPUR: Pembentukan Kerajaan Perpaduan yang mengandungi kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) serta parti-parti lain hanya terpakai sehingga Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU).

​Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, sebarang perundingan kerjasama politik untuk mendepani pilihan raya hanya akan bermula secara rasmi selepas pembubaran Parlimen berlaku.

​Menurutnya, berdasarkan asas pembentukan Kerajaan Perpaduan, nama gabungan tersebut secara jelas dimaktubkan sebagai ‘Kerajaan Perpaduan Malaysia’ melalui perjanjian yang dimeterai oleh parti-parti terlibat.

​”Selagi mana kita belum sampai tempoh pilihan raya, asasnya kita tidak akan ‘menebuk atap’ atau merubah kerajaan ini hanya sekadar pertukaran Perdana Menteri.

​”Kita memikirkan soal kestabilan politik yang perlu dipertahankan. Selepas pembubaran diisytiharkan, barulah perundingan bermula dan terserah kepada parti-parti untuk menentukan hala tuju masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.

​Mengulas mengenai perundingan bersama Pas, Asyraf Wajdi menjelaskan bahawa wujud kecenderungan dalam kalangan perwakilan untuk memfokuskan perundingan secara terus dengan kepimpinan Pas berbanding gabungan Perikatan Nasional (PN).

​”Sebuah jawatankuasa perundingan akan dibentuk oleh kepimpinan parti bagi mengambil kira semua pandangan dan cadangan yang dilontarkan oleh para perwakilan sepanjang persidangan,” jelasnya.

​Menyentuh isu pembubaran Parlimen dan PRU, beliau memberitahu bahawa negara kini berada dalam edah pilihan raya selepas melepasi tempoh matang tiga tahun pentadbiran.

​Justeru, sebarang gagasan besar seperti agenda ‘Malaysia Biru’ yang ditawarkan oleh parti perlu diserahkan semula kepada rakyat untuk mendapatkan mandat yang jelas.

​”Sebagai parti yang bertanggungjawab, apa jua perancangan besar yang ingin kita tampilkan tidak boleh ‘syok sendiri’.

“Ia mesti mendapat mandat yang jelas daripada rakyat sebagaimana yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini,” katanya.

​

BBerkaitan

Latest articles