​
​KUALA LUMPUR: Perwakilan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman menggesa supaya parti itu tidak terus dibuli dan didera oleh rakan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan sehingga nasib parti itu menjadi seperti kes buli tragis yang menimpa mendiang Zara Qairina.
​Beliau menegaskan, UMNO merupakan sebuah parti perjuangan yang besar, matang serta berprinsip, dan bukannya sebuah parti yang ditubuhkan atas kepentingan individu atau perselisihan jalanan.
​”Hari ini kita lihat kita dibuli, kita didera. Apabila kita meletakkan kerja kita bertanding solo di Johor… hasil keputusan kita tidak disukai oleh parti-parti lain terutamanya parti yang bersama di dalam Kerajaan Perpaduan.
​”Kita sebuah parti besar, kita sebuah parti yang lama, ‘abang sulung’ yang telah berada di persada negara untuk memerdekakan negara kita.
“Kita tidak terikat dengan mana-mana parti, kita hanya berada dalam Kerajaan Perpaduan untuk menyelesaikan masalah rakyat demi kehidupan rakyat sepenggal selepas pilihan raya.
​”Tetapi kita diuji dengan kita didera dan dibuli… jangan UMNO dijadikan Zara Qairina,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Sabtu.
​Mengulas lanjut, Zawawi menyindir pihak tertentu dalam Kerajaan Perpaduan yang didakwanya terlalu mengikut telunjuk serta kehendak parti DAP sehingga sanggup mengenepikan rakan gabungan sendiri.
​Beliau turut mempersoalkan sikap pemimpin DAP, Nga Kor Ming yang didakwa mempertikaikan usaha pengampunan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.
​”Belum sempat kita menyatakan untuk membuat pengampunan, dia (Nga Kor Ming) menyatakan kalau Datuk Seri Najib Razak diampunkan, maka nak letak jawatan. Benci sangatkah Nga Kor Ming kepada Datuk Seri Najib?
​”Kena ingat, Datuk Seri Najib kesayangan parti kita, beliau bekas Presiden kita. ‘Bossku’ adalah roh UMNO. Kalau kamu benci kepada roh UMNO, bermakna kamu benci kepada kami. Bagaimana kami ini nak bersama dengan kamu kalau kamu membenci kami?” tegasnya.
​Dalam pada itu, Zawawi turut menyentuh isu persepsi serta tindakan berat sebelah yang sering dilemparkan terhadap UMNO sejak bertukar-tukar kerajaan pasca-2018.
​Beliau mengingatkan rakan pimpinan kerajaan agar tidak berterusan mencari kesalahan UMNO semata-mata kerana perbezaan pandangan politik.
​”Ingat, satu masa nanti kalau dihentak kita sampai ke dinding, maka ianya juga akan berlaku kepada diri anda. Usia kerajaan ini lebih kurang 15 bulan lagi kalau ianya panjang… mungkin Allah pendekkan, mungkin rakyat juga akan menentukan siapa yang akan menjadi kerajaan selepas ini.
​”Hari ini politik kita, yang kalah adalah salah, yang salah belum tentu lagi kalah. Kalau selepas ini mana-mana parti yang menang, situasi ini akan berlaku,” katanya lagi.
​Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh kepimpinan dan ahli UMNO untuk kekal mempertahankan pendirian parti dan terus berdiri teguh di belakang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi demi memartabatkan agama, bangsa dan negara.










