PAU 2026: UMNO Kedah ‘Londeh’ Prestasi Menteri PH, Label ‘Penyakit Negara’

​KUALA LUMPUR: Perwakilan UMNO Kedah ‘melondehkan’ prestasi beberapa menteri daripada Pakatan Harapan (PH) yang didakwa gagal menggalas tanggungjawab dengan baik, selain menyifatkan kepimpinan mereka sebagai sebahagian daripada ‘penyakit negara’.

​Wakilnya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menegaskan, beberapa tindakan menteri terbabit tidak memberi manfaat kepada rakyat, sebaliknya hanya berfokus kepada keutamaan yang salah dan politik intimidasi.

​Menyentuh mengenai isu pertanian dan pembelaan pesawah, perwakilan Kedah menyelar kepimpinan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang didakwa gagal menangani kemelut bajak serta isu kebajikan pesawah di lapangan.

​”Pembelaan kepada rakyat… ada seorang menteri tunjuk kepada semua orang bahawa hebat dan pandainya beliau bela ikan tilapia di tepi rumah. Lepas itu panggil wartawan buat kenduri, bubuh dalam video.

​”Lepas itu menteri ini pergi luar negara, kononnya lawatan untuk meneroka teknologi baharu… balik dia umum ada satu teknologi mantap iaitu menternak udang dalam sawah padi.

​”Macam mana nak bercocok tanam sawah padi kalau baja pun lambat sampai kepada pesawah dan petani? Baru-baru ini 40,000 pesawah dan petani terkesan akibat keculasan dan kecurangan yang dibuat oleh Kementerian Pertanian,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Sabtu.

​​Selain isu pertanian, beliau turut menyelar isu salah guna institusi penguatkuasaan oleh pihak berkuasa yang didakwa digunakan sebagai senjata politik untuk menekan pimpinan lawan.

​”Penyakit yang pertama, apabila sang penguasa ‘guru’ menyalahgunakan institusi dan badan penguatkuasaan untuk menekan lawan politik.

​”Dahulu melelaungkan beliau dizalimi, ditekan, dikhianati… kemudian waktu pilihan raya kata nak buat reformasi, antaranya nak meletakkan SPRM bawah Parlimen. Tapi apa tindakan yang dibuat sekarang? Tak ada! Reformasi jadi ‘reformati’,” katanya lagi.

​Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Kedah mencadangkan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditukar nama kepada ‘PKRM’ kerana dakwanya ia jelas dijadikan senjata politik.

Turut diselar dalam perbahasan tersebut adalah prestasi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Komunikasi yang disifatkan sering bertukar pendirian (u-turn) serta gagal menangani isu-isu kritikal membabitkan kebajikan guru, pelajar dan kebebasan media.

​Tidak berhenti di situ, perwakilan Kedah turut menghalakan ‘peluru’ kritikan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang didakwa mengutamakan perkara remeh dan tidak sensitif dengan keutamaan kementerian.

​Beliau menempelak tindakan Kor Ming yang didakwa membawa kumpulan persembahan koir Krismas ke dalam pejabat kementerian di Putrajaya, sedangkan kementerian itu sepatutnya memberi tumpuan kepada isu asas dan keutamaan rakyat.

​”Mari pula seorang lagi menteri… beliau bawa persembahan koir Krismas masuk menyanyi di dalam kementerian.

​”Lobi kementerian yang sepatutnya menjadi pusat urusan rakyat dan penjelmaan dasar-dasar perumahan negara, tiba-tiba dijadikan tempat konsert dan persembahan koir!

​”Apakah ini keutamaan yang nak ditunjukkan oleh seorang Menteri KPKT? Di mana sensitiviti dan kefahaman beliau tentang tugas utama kementerian?” katanya dengan nada tegas sambil disambut sorakan perwakilan.

Perbahasan perwakilan Kedah diteruskan dengan menempelak Menteri Belia dan Sukan yang disifatkan sebagai menteri dari Kedah yang tidak berprestasi atau dipanggil sebagai ‘Menteri Anak Daddy’ (merujuk kepada Dr. Taufiq Johari).

​Beliau mengkritik kegagalan kepimpinan kementerian tersebut dalam memartabatkan temasya sukan tempatan dan antarabangsa seperti Sukan Commonwealth dan Sukma yang kini makin hilang kepentingannya di mata rakyat.

​”Menteri Belia dan Sukan… kalau dulu rakyat Malaysia sentiasa meraikan Sukan Commonwealth, duduk depan TV nak tengok atlet berjuang untuk negara.

​”Tapi sekarang ini, Sukan Commonwealth kita pun tak tahu bila jadi, Sukma pun tak tahu bila jadi! Yang dia tahu, semua program-program kebangsaan dibawa balik ke Sungai Petani sahaja.

​”Di Sungai Petani, bapak dia Ahli Parlimen tiga penggal nak jadi Speaker Dewan Rakyat, bagi kat anak dia. Tak cukup dengan itu, pilihan raya negeri DUN Gurun bagi kat anak lagi satu. Kalau UMNO buat macam ini, tiga suku nyawa kena balun! Ini menteri daripada Kedah yang sangat tidak perform,” bidasnya.

BBerkaitan

Latest articles