PAU 2026: Kerajaan Digesa Hapus Subsidi Bersasar, Menyusahkan Rakyat Sabah


​KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa supaya menghapuskan pelaksanaan sistem subsidi bersasar, khususnya melibatkan bahan bakar diesel, kerana ia didakwa amat membebankan dan menyusahkan kehidupan rakyat, khususnya di Sabah.

​Perwakilan UMNO Sabah, Azuwan Marjan berkata, langkah peraksanaan kuota subsidi berkenaan tidak relevan dengan keadaan geografi dan keperluan harian penduduk di negeri itu yang bergantung penuh kepada kenderaan bermotor diesel.

​”Saya terus terang Datuk Seri Presiden, (pemberian subsidi bersasar ini) betul-betul menyusahkan.

​”Sabah merupakan pengguna kenderaan diesel tertinggi di Malaysia. Ini adalah kerana faktor jarak, bentuk muka bumi, geografi serta faktor jalan raya yang belum cukup sempurna. Orang Sabah lebih gemar menggunakan kenderaan diesel,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) di sini, pada Sabtu.

​Mengulas lanjut, Azuwan mempertikaikan alasan kerajaan mengenakan kuota subsidi bersasar kononnya bagi membanteras aktiviti ketirisan dan penyeludupan bahan api berkenaan.

​Jelasnya, tindakan itu hanya memangsakan majoriti rakyat marhaen berbanding segelintir pihak yang melakukan kesalahan tersebut.

​”Masalahnya, yang menyeludup minyak atau bukan warganegara ini hanya sebilangan kecil, tetapi yang menerima padahnya adalah orang Sabah, orang biasa.

​”Bayangkan harga diesel kini mencecah RM4.92 seliter dan tidak mustahil boleh naik lagi. Kuota 400 liter yang diberikan amat tidak relevan dan tidak cukup untuk kami di Sabah,” tegasnya.

​Menurut beliau, syarat ketat yang dikenakan termasuk keperluan pendaftaran pemilikan kenderaan turut menyukarkan pelbagai golongan seperti petani, nelayan, usahawan desa, pekebun kecil, peniaga dan kontraktor.

​Memberi contoh sektor pertanian, Azuwan mendedahkan kos pengurusan sawah padi seluas satu ekar kini melonjak dua kali ganda berbanding sebelum ini.

​”Dulu sebelum kenaikan harga diesel, kos untuk satu ekar selama semusim lebih kurang RM500 hingga RM600. Hari ini kosnya menelan RM1,100 hingga RM1,200. Apa lagi petani mahu makan?

​”Sehinggakan ada petani yang tidak sangka lagi mahu mengerjakan sawah kerana merasakan usaha keras selama empat bulan tidak berbaloi,” ujarnya lagi.

​Sehubungan itu, beliau mewakili UMNO Sabah dan rakyat negeri berkenaan mendesak kerajaan agar merestruktur semula serta menghapuskan sistem kuota subsidi bersasar bagi diesel dan petrol.

​Dalam pada itu, Azuwan turut menyentuh isu tambang tiket penerbangan domestik yang masih tinggi, khususnya melibatkan pelajar dan anak perantau Sabah di Semenanjung.

​”Saban tahun apabila tiba musim pendaftaran IPTA, ramai ibu bapa mengadu tidak mampu membeli tiket penerbangan yang terlalu mahal hingga ada anak-anak sangka menangguhkan pengajian.

​”Malah, ada anak perantau yang ditimpa musibah kematian ahli keluarga hanya mampu menangis di Semenanjung kerana tidak sempat melihat jenazah buat kali terakhir disebabkan harga tiket yang melambung,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles