KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dibawa ke Mahkamah Sesyen pagi ini bagi menghadapi prosiding reman sebelum dipercayai didakwa atas pertuduhan berkaitan rasuah.
Abdul Azeez, 60, ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman petang semalam sebelum ditempatkan di Balai Polis Dang Wangi.
Peguamnya, Datuk Abu Bakar Isa Ramat, mengesahkan polis akan memohon perintah reman terhadap anak guamnya mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Polis akan memohon perintah reman di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui di lobi kompleks mahkamah.
Abdul Azeez dipercayai memasuki kompleks mahkamah melalui laluan khas bagi mengelak perhatian media yang sudah berkumpul seawal jam 7 pagi untuk mendapatkan perkembangan kes berkenaan.
Dalam pada itu, sekumpulan penyokong turut hadir sebagai tanda solidariti kepada bekas Ahli Parlimen Baling berkenaan.
Anaknya, Mohamed Khairul Azman, turut kelihatan di mahkamah bersama beberapa pemimpin UMNO.
Malam tadi, Khairul Azman menerusi satu kenyataan meluahkan kesedihan susulan penahanan bapanya selain meminta orang ramai mendoakan serta memberikan sokongan kepadanya.
Kawalan keselamatan di sekitar kompleks mahkamah juga dipertingkatkan dengan penambahan anggota polis berbanding kebiasaan.
Sebelum ini, Abdul Azeez dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, masing-masing direman selama tujuh hari bermula 27 Ogos hingga 2 September.
Kedua-duanya direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), susulan pendedahan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji.










