KUALA LUMPUR: Individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, khususnya melibatkan kes berprofil tinggi, perlu menjalani tempoh hukuman yang ditetapkan oleh mahkamah secara sepenuhnya.
Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan menegaskan, pendirian itu selaras dengan komitmen gabungan berkenaan yang sejak awal memperjuangkan reformasi institusi, tatakelola baik dan penolakan terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa.
Menurut kenyataan itu, prinsip kedaulatan undang-undang menuntut agar proses kehakiman yang berjalan diberikan ruang untuk diselesaikan secara bebas tanpa persepsi wujud pertimbangan lain.
“Ini penting buat Malaysia yang berada dalam fasa pemulihan untuk memperkukuh tatakelola dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
“Maka, sebarang keputusan dalam kes-kes berprofil tinggi perlu mengambil kira keyakinan masyarakat terhadap kesungguhan negara melaksanakan agenda tersebut,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
Majlis Setiausaha PH turut menambah bahawa beberapa kes rasuah berprofil tinggi sebelum ini telah memberi kesan besar kepada imej serta reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, gabungan berkenaan memberikan sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan MADANI dalam membanteras rasuah dan ketirisan, selain menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya siasatan dijalankan secara menyeluruh tanpa kompromi.
“Amanah daripada rakyat pelbagai kaum dan agama menuntut kami untuk terus konsisten menyuarakan pendirian berdasarkan prinsip, walaupun ketika berhadapan situasi mencabar dan tekanan dari pelbagai sudut.
“PH mengulangi pendirian untuk terus menjunjung Perlembagaan, menghormati institusi negara dan pada masa yang sama kekal teguh mempertahankan prinsip Reformasi serta perjuangan membanteras rasuah,” jelas kenyataan itu lagi.










