Lembaga Pengampunan Bakal Bermesyuarat Jumaat, Isu Tahanan Rumah Najib Kembali Hangat

KUALA LUMPUR: Perkembangan mengenai permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah kembali menjadi perhatian apabila Lembaga Pengampunan dijangka mengadakan mesyuarat Jumaat ini.

Menurut sumber, mesyuarat berkenaan dijangka berlangsung dalam tempoh dua hari lagi, namun lokasi dan masa pertemuan itu masih belum diketahui.

Antara persoalan yang timbul ialah sama ada isu berkaitan permohonan tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu akan menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Perkembangan tersebut kembali menghangatkan isu yang sebelum ini melalui proses perundangan panjang, khususnya berhubung dakwaan kewujudan Titah Adendum yang dikatakan memberi ruang kepada Najib untuk menghabiskan baki hukumannya di kediaman.

Najib sebelum ini mengambil beberapa tindakan perundangan bagi mendapatkan pengiktirafan terhadap kewujudan serta pelaksanaan titah berkenaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 22 Disember lalu menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan Najib selepas mendapati isu tahanan rumah tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari 2024.

Susulan keputusan itu, Najib kemudian menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.

Notis berkaitan penarikan rayuan tersebut difailkan oleh firma guaman Tetuan Shafee & Co pada 2 April lalu, namun tiada alasan dinyatakan berhubung tindakan berkenaan.

Pada 14 April, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan merekodkan bahawa Notis Penghentian yang dikemukakan pihak peguam adalah teratur, sekali gus menyebabkan notis rayuan Najib dibatalkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Peguam Negara sebelum ini menjelaskan bahawa sekiranya terdapat cadangan untuk membolehkan Najib menghabiskan baki hukuman menerusi tahanan rumah, perkara itu perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan untuk pertimbangan selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada pengesahan rasmi berhubung agenda mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dikatakan akan berlangsung Jumaat ini.

Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selepas disabitkan atas kesalahan berkaitan penyelewengan RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

BBerkaitan

Latest articles