KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, mendesak Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan rasional di sebalik pelantikan perunding kewangan bagi menilai kedudukan kewangan syarikat penerbangan AirAsia.
Menyifatkan langkah itu sebagai mencurigakan, beliau yang juga Ketua Penerangan PAS mempersoalkan kewajaran kerajaan campur tangan membiayai khidmat perunding untuk sebuah entiti swasta yang sepatutnya mempunyai struktur pengurusan dan penasihat kewangannya sendiri.
“Soalan pertama, kenapa kerajaan perlu lantik Alton? AirAsia syarikat swasta. Tentulah mereka ada pengurusan, juruaudit dan penasihat kewangan sendiri.
“Kalau AirAsia perlukan dana, kenapa MOF pula yang perlu lantik perunding untuk mengkajinya?” soal beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menuntut ketelusan berhubung kos sebenar pelantikan Alton Aviation Consultancy, termasuk kaedah perolehan sama ada melalui tender terbuka atau lantikan terus, bagi memastikan wang rakyat tidak disalah guna untuk menanggung kajian tersebut.
Ahmad Fadhli turut membangkitkan kebimbangan sama ada langkah berkenaan merupakan fasa awal kepada usaha penyelamatan (bailout) memandangkan AirAsia merekodkan liabiliti semasa sebanyak RM18.4 bilion berbanding baki tunai yang rendah, serta sedang mencari dana sehingga AS$1 bilion dari pasaran antarabangsa.
“Kenapa duit pembayar cukai perlu digunakan untuk membantu AirAsia kalau akhirnya itu yang sedang dipertimbangkan?
“Masa untung, syarikat dan pemegang saham yang dapat. Masa rugi jangan rakyat pula kena bayar,” ujarnya, sambil membangkitkan perbandingan kes terdahulu melibatkan Ventris Energy (dahulunya Sapura Energy) dan Datasonic.
Isu terbabit mula mendapat perhatian susulan laporan eksklusif agensi berita Reuters yang mendedahkan bahawa Kementerian Kewangan telah melantik Alton Aviation Consultancy bagi menilai keperluan pembiayaan AirAsia, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat mengenai sejauh mana penglibatan kerajaan dalam membantu syarikat penerbangan tambang murah tersebut di tengah-tengah tekanan kewangan yang dihadapi.










