KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan dilaporkan telah melantik Alton Aviation Consultancy bagi menilai keperluan pembiayaan AirAsia, memetik laporan agensi berita Reuters.
​Langkah itu mencerminkan pertimbangan kerajaan dalam meneliti bentuk sokongan yang boleh dipertimbangkan untuk syarikat penerbangan tambang murah terbesar Asia Tenggara berkenaan, dengan mengambil kira kepentingan awam serta kesan ekonomi.
​Menurut sumber yang arif mengenai perkara terbabit, penglibatan kerajaan turut didorong oleh peranan kritikal AirAsia sebagai majikan utama dan penyedia perkhidmatan perhubungan udara mampu milik di rantau ini.
​Bagaimanapun, Kementerian Kewangan, pihak pengurusan AirAsia dan Alton Aviation Consultancy masih belum mengeluarkan sebarang maklum balas rasmi berhubung laporan tersebut. Peranan Alton itu pada awalnya didedahkan oleh penerbitan industri penerbangan, Cirium.
​Menurut Reuters, AirAsia sebelum ini melaporkan kerugian bersih sebanyak RM831 juta bagi suku kedua yang berakhir pada 30 Jun, terjejas akibat kenaikan kos bahan api jet berikutan konflik di Timur Tengah serta kerugian pertukaran asing yang besar.
​Sebagai langkah pemulihan, syarikat penerbangan itu sedang melaksanakan penstrukturan semula secara agresif termasuk mengurangkan laluan kurang berdaya maju, memulangkan 25 pesawat lama kepada pihak pemajak, dan merundingkan semula kontrak vendor.
​AirAsia pada Rabu memaklumkan pihaknya sedang merintis perbincangan bersama institusi kewangan tempatan dan antarabangsa bagi menyasarkan pembiayaan sehingga AS$1 bilion daripada pasaran hutang antarabangsa berserta kemudahan kredit tempatan sebanyak RM700 juta, yang khusus bagi penstrukturan semula hutang dan bukannya kekurangan operasi.
​Kedudukan kecairan syarikat itu berdepan cabaran apabila liabiliti semasa mencecah RM18.4 bilion berbanding baki tunai dan bank sebanyak RM954 juta setakat 30 Jun lalu, dengan sumber menyatakan dana AS$1 bilion itu mungkin masih belum mencukupi untuk menangani keseluruhan cabaran kewangan tersebut.










