Pelajar UiTM Maut Ketika Sertai Cabaran Ketahanan

MARAN: Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) meninggal dunia selepas mengalami masalah berkaitan haba ketika menyertai Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) di kampus UiTM Jengka, Jumaat lalu.

Mangsa, Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Maran, Wong Kim Wai, berkata mangsa adalah antara dua pelajar yang mendapatkan rawatan di HoSHAS selepas kejadian berkenaan, manakala tujuh lagi peserta dirawat di Hospital Jengka.

Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami masalah berkaitan haba termasuk kekurangan oksigen ketika menyertai acara tersebut.

“Perkembangan lanjut akan diberikan selepas menerima laporan bedah siasat Fadhlan Fakhry,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Susulan kejadian itu, UiTM Pahang memutuskan untuk membatalkan semua aktiviti luar KKEC yang dijadualkan hari ini.

Dalam kenyataan, universiti turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta memberi jaminan bahawa bantuan akan disalurkan bagi menguruskan urusan berkaitan jenazah, dokumentasi, pengangkutan dan sokongan emosi kepada keluarga.

Fadhlan Fakhry merupakan pelajar tahun akhir program diploma di UiTM Kampus Seremban dan mewakili UiTM Negeri Sembilan dalam pertandingan berkenaan.

KKEC ialah program tahunan yang menghimpunkan peserta Komander Kesatria dari pelbagai cawangan UiTM seluruh negara, dengan acara direka untuk menguji ketahanan fizikal dan mental, kemahiran taktikal, ketangkasan serta keupayaan bekerja dalam pasukan.

Program yang berlangsung dari 2 hingga 8 September di kampus UiTM Jengka itu, menurut universiti, dilaksanakan dengan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ketat.

Setiap peserta diwajibkan menjalani saringan kesihatan sebelum program bermula, selain pemeriksaan kesihatan secara berkala sebelum setiap acara.

UiTM turut memaklumkan terdapat beberapa peserta yang diarahkan menarik diri selepas tidak melepasi saringan kesihatan akhir.

Universiti berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan akan terus memantau perkembangan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan semua peserta terjamin.

BBerkaitan

Latest articles