KUALA LUMPUR: Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur tampil menafikan dakwaan bahawa negara itu cuba mencampuri urusan politik domestik Malaysia, termasuk menentukan siapa yang bakal menerajui kerajaan.
Kuasa Usaha Sementara Kedutaan AS, David H Gamble Jr, menegaskan Washington tidak pernah mengambil langkah untuk menentukan kepemimpinan politik negara ini.
Menurut beliau, sebarang laporan atau dakwaan yang menggambarkan AS cuba mempengaruhi penentuan kepemimpinan Malaysia adalah tidak benar.
Penafian itu dibuat ketika timbul spekulasi di platform dalam talian berhubung dakwaan wujud campur tangan pihak asing dalam perkembangan politik semasa negara.
Kedutaan AS turut menekankan bahawa hubungan diplomatik antara Washington dan Kuala Lumpur kekal berteraskan usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Bagaimanapun, isu berkenaan kembali menjadi perhatian selepas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mendakwa wujud perbincangan dengan wakil Kedutaan AS berkaitan calon Perdana Menteri yang dicadangkan parti itu.
Abdul Hadi dilaporkan berkata perkara tersebut dibangkitkan ketika beliau menghadiri pertemuan di Kedutaan AS, selepas dua pemimpin utama PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, terlebih dahulu mengadakan pertemuan dengan pihak kedutaan.
Dalam sesi penggulungan pada Muktamar PAS ke-72 semalam, Abdul Hadi turut mendakwa kedua-dua pemimpin berkenaan diberitahu mengenai kemungkinan berlaku perubahan kerajaan.
Malah, beliau mendakwa wujud tawaran bantuan daripada pihak AS sekiranya usaha untuk menjatuhkan kerajaan dan mengambil alih pentadbiran itu dilaksanakan.










