Isu Baja Lewat: Zainal Rashid Gesa Pesawah Bawa Kes Ke Mahkamah

​ALOR SETAR: Isu kelewatan agihan bekalan baja fasa ketiga di Kedah dan Perlis yang didakwa semakin kritikal wajar dibawa ke peringkat perundangan bagi menuntut pembelaan buat golongan pesawah yang terjejas.

​Aktivis kemanusiaan yang juga wartawan veteran, Zainal Rashid Ahmad berkata, tindakan undang-undang menerusi saman sivil di mahkamah merupakan langkah terbaik berbanding kaedah lama seperti mengadakan demonstrasi jalanan atau sekadar menghantar memorandum.

​Beliau mendakwa, operasi agihan kecemasan yang hanya merekodkan lapan peratus agihan tambahan selepas tempoh 14 hari jaminan adalah sangat perlahan, lebih-lebih lagi apabila banyak kawasan sawah kini sudah hampir pada peringkat tuaian.

​”Saya akan terus membantu petani bersuara. Cuma, pilihan terbaik sekarang ialah membawa kes ini ke mahkamah.

​”Saya sudah meminta wakil pesawah berfikir: ‘Sama ada tiap tahun kita diletihkan oleh sistem dan ketirisan atau kita heret kes ke mahkamah bagi mengatasi semua kemelut yang sudah lama dan tidak berkesudahan!'” katanya menerusi hantaran di media sosial di ZRA Strim pada Rabu.

​Menurut beliau, kira-kira 40,000 petani di lebih 70,000 hektar kawasan sawah masih menunggu bekalan tersebut, manakala sebahagian pesawah dilaporkan sudah terpaksa merujuk pejabat zakat untuk memohon bantuan selepas menanggung kerugian besar.

​Sehubungan itu, beliau turut menggesa pihak berwajib di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) agar tidak berdiam diri terhadap kemelut berkenaan yang dikaitkan dengan isu ketirisan dan kecuaian sistem pentadbiran.

​Beliau turut meluahkan kesal kerana suara pesawah seolah-olah terpinggir di media arus perdana akibat penguasaan pihak penaja, sekali gus menjadikan platform digital sebagai medan perlawanan terbaik.

​”Petani kehilangan suara di media arus perdana; mengapa?

“Jawapannya mudah: ‘Pihak berkepentingan dalam isu padi adalah pemilik dan penaja iklan!’ Perlawanan kita sekarang hanya berkesan di media sosial,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles