Perkhidmatan Feri Pulau Pinang Beroperasi Seperti Biasa Selepas Insiden Pelanggaran

GEORGE TOWN: Perkhidmatan feri Pulau Pinang beroperasi seperti biasa dan tidak terjejas susulan insiden pelanggaran membabitkan Feri Teluk Bahang dengan kapal MV Mekar Jaya di dalam had Pelabuhan Pulau Pinang, malam tadi.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, pihaknya bersama Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) sedang mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan serta kelancaran operasi pelabuhan terus terjamin.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam Isnin itu, seramai 21 individu dilaporkan cedera selepas feri berkenaan bertembung dengan MV Mekar Jaya.

“Setakat maklumat awal yang diterima, seramai 21 orang dilaporkan cedera.

“Semua penumpang yang tercedera telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut dan tiada lagi mangsa berada di PSAH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, perlanggaran berlaku ketika MV Mekar Jaya sedang bergerak dari Dermaga Air Dalam Butterworth (DADB) menuju ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).

Dalam masa sama, Feri Teluk Bahang ketika itu sedang dalam perjalanan menuju ke Pengkalan Sultan Abdul Halim (PSAH).

Yeoh berkata, SPPP dan PPSB turut memberi keutamaan terhadap kebajikan penumpang yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Katanya, semua langkah berkaitan akan dilaksanakan secara teratur bagi memastikan kebajikan penumpang terjejas diberi perhatian, selain keselamatan dan kelancaran operasi pelabuhan terus terpelihara.

BBerkaitan

Latest articles