KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa tidak lagi menangguhkan pendedahan Laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Penggubalan Undang-Undang Islam (JKK), yang didakwa telah siap sejak Mac tahun lalu.
Desakan itu dibuat sekumpulan 10 pengamal undang-undang terkemuka yang berpandangan laporan berkenaan perlu diumumkan kepada masyarakat bagi memastikan kepastian undang-undang, khususnya berkaitan bidang kuasa negeri dalam penggubalan undang-undang kesalahan Syariah.
Dalam satu petisyen bersama, mereka turut menuntut kerajaan menyatakan pendirian serta tindakan susulan terhadap syor yang dikemukakan jawatankuasa berkenaan.
JKK dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dan ditubuhkan pada 5 Disember 2023 susulan implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan seorang lagi lwn Kerajaan Negeri Kelantan, khususnya terhadap bidang kuasa legislatif negeri dalam menggubal undang-undang berkaitan kesalahan Syariah.
Menurut kumpulan terbabit, laporan JKK yang difahamkan telah sedia untuk dibentangkan sejak Mac 2025 masih belum didedahkan kepada umum, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tempoh penangguhan yang berpanjangan.
Mereka menegaskan, isu berkenaan bukan semata-mata berkaitan kandungan undang-undang Syariah, sebaliknya mempunyai implikasi lebih luas terhadap struktur perundangan negara, kuasa legislatif negeri dan pentadbiran undang-undang Islam.
“Kami berpandangan bahawa laporan ini penting kepada awam, khususnya kerana ia menyentuh struktur perundangan negara, bidang kuasa legislatif negeri, pentadbiran undang-undang Islam serta kepastian undang-undang bagi umat Islam dan institusi-institusi berkaitan,” menurut kenyataan bersama itu.
Dalam petisyen berkenaan, kumpulan peguam itu mengemukakan tiga tuntutan utama kepada kerajaan.
Pertama, mereka mahu keseluruhan laporan JKK diterbitkan dan boleh diakses masyarakat umum.
Kedua, kerajaan diminta mengemukakan pendirian rasmi serta langkah susulan terhadap syor yang dikemukakan jawatankuasa tersebut.
Ketiga, sebarang proses pembaharuan atau pindaan undang-undang yang dicadangkan susulan laporan berkenaan hendaklah dilaksanakan secara terbuka dan telus.
Mereka turut menegaskan proses tersebut perlu membabitkan rundingan menyeluruh dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa agama, badan kehakiman, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat awam.
Menurut mereka, pendekatan itu penting bagi memastikan sebarang perubahan terhadap kerangka perundangan dibuat dengan mengambil kira kepentingan semua pihak berkepentingan dan tidak menimbulkan ketidakpastian dari sudut undang-undang.
Antara pengamal undang-undang yang menandatangani petisyen itu ialah Datuk Lukman Sheriff Alias, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Fakhrul Azman Abu Hasan, Datuk Megat Abdul Munir, Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab, Datuk Adnan Seman @ Abdullah, Yusfarizal Yusoff, Muhamad Hisham Marzuki, Ahmad Edham Abdulwani dan Aidil Khalid.
Kumpulan itu berpandangan, selepas tempoh penangguhan yang panjang, tiada alasan munasabah untuk kerajaan terus menutup laporan berkenaan daripada pengetahuan awam.
Mereka berkata, pendedahan laporan itu penting bagi memelihara kepentingan awam, memperkukuh kepastian dan kestabilan perundangan serta memastikan keyakinan masyarakat terhadap institusi kehakiman dan sistem perundangan negara terus terpelihara.










