KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar kabel Bumiputera, Federal Power Sdn. Bhd, melakar lembaran bersejarah apabila menyempurnakan penyerahan dividen bagi tahun kewangan 2025 kepada pemegang saham strategiknya, Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Majlis bermakna itu menyaksikan pembayaran dividen diserahkan kepada TNB, melambangkan kemuncak kebangkitan semula syarikat selepas mengharungi pelbagai cabaran getir pasca-pandemik Covid-19 sejak pengambilalihan pengurusan pada tahun 2016.
Pengerusi Federal Power, Datuk Seri N.W. Hisham Abdul Wahab menyifatkan hari tersebut sebagai detik bersejarah kerana ia merupakan kali pertama syarikat mampu mengagihkan dividen kepada TNB, yang memiliki pegangan ekuiti strategik sebanyak 10 peratus di dalam syarikat berkenaan.
“Selama saya mengambil alih Federal Power ini daripada 2016 sehingga sekarang, hari ini adalah hari yang bersejarah.
“Ini adalah kali pertama kita dapat membayar dividen kepada TNB setelah melalui pelbagai cabaran, terutamanya ketika era pandemik Covid-19,” katanya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Mohammad Amar Isqandar N.W. Hisham.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Tenaga Cable Industries Sdn. Bhd. (TCI), Dr. Ir. Ahmad Jaafar Abd Hamid, bagi mencerminkan semangat kerjasama erat dalam kalangan anak syarikat kumpulan TNB.
Menyorot perancangan masa depan, Hisham berkata Federal Power kini mengorak langkah agresif ke pasaran antarabangsa melalui perancangan usaha sama (JV) serta Memorandum Persefahaman (MOU) bersama syarikat gergasi Arab Saudi, Jeddah Cable, susulan lawatan rasmi baru-baru ini.
Tambahnya, syarikatnya juga dijadualkan menyertai pameran perdagangan berprestij di Riyadh pada November depan.
Selain memperkukuh kedudukan industri kabel nasional dengan sasaran kontrak bernilai tinggi, Federal Power turut komited meneruskan agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengagihkan sebahagian daripada pulangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memerlukan.










