Polis Siasat Lelaki Cetus Kekecohan Ketika Sambutan Hari Kemerdekaan Di Putrajaya

PUTRAJAYA: Polis membuka siasatan berhubung insiden kekecohan yang tercetus ketika orang ramai menunggu pembukaan pagar kawasan tempat duduk sempena Sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Putrajaya.

Ketua Polis Putrajaya, Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya telah menerima empat laporan polis berkaitan kejadian berkenaan yang dipercayai berlaku sekitar jam 5 pagi.

Menurut beliau, polis turut mengesan satu rakaman video yang dimuat naik di Facebook, dipercayai merakam insiden tersebut.

“Hasil penelitian terhadap rakaman berkenaan mendapati seorang lelaki yang memakai baju berwarna oren atau coklat dipercayai bertindak mencetuskan provokasi dengan merempuh serta menolak orang awam yang sedang menunggu untuk memasuki kawasan tempat duduk.

“Tindakan itu kemudiannya menyebabkan berlaku tolak-menolak sehingga beberapa individu dilaporkan terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Aidi Sham berkata, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Sehubungan itu, polis meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan tampil memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.

Lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu turut diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya bagi membantu siasatan.

Polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles