KUALA LUMPUR: Parti Wawasan Negara (Wawasan Negara) melengkapkan barisan kepimpinan sayapnya dengan melantik Dayang Saniah Awang Hamid sebagai Ketua Pergerakan Wanita (Penaja) dan Muhammad Faiz Rahmad sebagai Ketua Pergerakan Pemuda (Penaja).
Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelantikan terbabit melengkapkan keseluruhan struktur kepimpinan parti susulan pelantikan Jawatankuasa Pusat, Penyelaras Negeri, dan Ketua Bahagian (Penaja) yang dibuat sebelum ini.
Menurut beliau, Dayang Saniah dan Muhammad Faiz mempunyai pengalaman luas dalam organisasi serta gerak kerja politik peringkat akar umbi, selain berupaya membina jentera yang dekat dengan masyarakat bagi memperkukuhkan kekuatan parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
”Saya yakin gandingan Dayang Saniah dan Muhammad Faiz bersama barisan kepimpinan Wanita serta Pemuda dapat menggamati imaginasi wanita dan pemuda dengan memberikan tenaga baru, idea segar serta nilai tambah yang signifikan kepada Wawasan Negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Hamzah memberitahu bahawa kedua-dua sayap itu akan dibangunkan secara inklusif sesuai dengan identiti dan prinsip parti itu sebagai sebuah parti berwajah Malaysia yang terbuka kepada semua rakyat untuk bersama-sama membina masa depan negara menerusi gagasan Konsensus Nasional Baharu.










