KLANG: Pihak yang melabel Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, sebagai individu kejam dan pembunuh seekor anjing ketika operasi tangkapan anjing liar diminta tampil memohon maaf.
Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu yang didakwa membuat hantaran mengaibkan terhadap anak guamnya, termasuk dalam kalangan pempengaruh.
Menurutnya, hantaran serta kenyataan berkenaan bukan sahaja menjejaskan reputasi Muhammad Shah Idham, malah didakwa mencetuskan ancaman terhadap keselamatan pemuda terbabit, keluarganya dan individu di sekelilingnya.
Beliau berkata, pertuduhan terhadap anak guamnya di mahkamah juga tidak menggunakan istilah seperti membunuh, menyeksa atau memukul haiwan dengan kuat sehingga menyebabkan kematian.
“Kita sedang dalam proses (mengenal pasti pihak terbabit). Ramai sebenarnya yang telah menulis pelbagai perkara mengenai Shah, daripada pelbagai lapisan masyarakat. Ada yang pernah duduk di Parlimen dan ada juga yang sudah tidak lagi,” katanya ketika ditemui pada sidang media di pekarangan Mahkamah Klang hari ini.
Mengulas kemungkinan tindakan saman tidak diteruskan terhadap individu yang telah memohon maaf, Muhammad Rafique berkata perkara itu bergantung kepada bentuk dan kandungan permohonan maaf berkenaan.
Katanya, kenyataan yang dibuat secara terbuka memberi kesan lebih besar kerana implikasinya bukan hanya terhadap individu yang mengeluarkannya, tetapi turut membabitkan keluarga, rakan-rakan serta penduduk di kawasan berkenaan.
“Kesannya bukan kepada diri mereka sahaja, tetapi kepada Shah, keluarga dan rakan-rakannya, malah penduduk kawasan itu dari segi ancaman keselamatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya masih belum menerima perkembangan terbaharu berhubung laporan polis yang dibuat sebelum ini berkaitan dakwaan ancaman terhadap Muhammad Shah Idham.
Muhammad Rafique turut menjelaskan bahawa anak guamnya bukan kakitangan mana-mana jabatan atau Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), sebaliknya hanya menjalankan tugas sebagai sukarelawan.
Sebelum ini, Muhammad Shah Idham dan S Roghini Devi, 42, yang didakwa sebagai pemilik anjing bernama Rocky, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang atas pertuduhan berkaitan haiwan berkenaan.
Muhammad Shah Idham didakwa secara tidak munasabah menjerut seekor anjing jantan menggunakan tali gelung (loop) sehingga menyebabkan kesakitan terhadap haiwan itu.
Roghini pula menghadapi pertuduhan menarik anjing sama secara tidak munasabah.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama.
Kes berkenaan tercetus selepas polis membuka kertas siasatan berhubung kematian seekor anjing ketika operasi menangkap haiwan berkeliaran di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, pada 29 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, sebelum ini dilaporkan berkata anjing terbabit disahkan mati pada kira-kira 10.50 malam di hadapan sebuah rumah di kawasan berkenaan.
Bangkai anjing itu kemudiannya dihantar ke Jabatan Veterinar Selangor untuk proses bedah siasat bagi membantu siasatan.










