KUALA LUMPUR: PKR menggesa sebarang rasa tidak puas hati membabitkan hubungan antara parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan kepimpinan Kerajaan Perpaduan diselesaikan terlebih dahulu melalui saluran dalaman.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, perbezaan pandangan dan kritikan sememangnya diterima dalam PH sebagai mekanisme semak dan imbang, namun isu berkaitan hubungan antara parti tidak wajar dibincangkan secara terbuka sehingga menimbulkan persepsi negatif.
Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan perwakilan DAP Kuala Lumpur, Sangeet Kaur Deo supaya hubungan DAP dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinilai semula.
Zaliha turut menolak dakwaan bahawa Anwar lebih mengutamakan pengukuhan Umno, sebaliknya menegaskan tanggungjawab Perdana Menteri adalah memastikan Kerajaan Perpaduan kekal stabil dan berfungsi demi kepentingan rakyat.
Katanya, kerajaan berkenaan dibentuk dan dipimpin berdasarkan keputusan bersama, justeru tanggungjawab terhadap kestabilannya tidak seharusnya diletakkan kepada Anwar seorang.
Sebelum ini, kongres khas DAP meluluskan usul untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat tempoh pentadbiran, meskipun terdapat rasa tidak puas hati terhadap prestasi kerajaan.










