Ayob Khan Akui Terima Tawaran Politik, Tapi Belum Buat Keputusan

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mengakui menerima tawaran untuk menyertai arena politik, namun masih belum membuat keputusan berhubung perkara itu.

Ayob Khan berkata, beliau kini mempertimbangkan sama ada penglibatan dalam politik benar-benar mampu memberinya ruang untuk membawa perubahan atau sebaliknya hanya menyebabkan beliau terikat dengan kehendak dan arahan kepimpinan parti.

Menurutnya, sekiranya penyertaan dalam politik hanya bermakna beliau perlu mengikut arus tanpa kebebasan untuk melakukan perubahan, beliau melihat tiada keperluan untuk mengambil langkah berkenaan.

“Kalau saya terpaksa ikut arus, lebih baik saya tidak pergi politik. Alhamdulillah di mana saya berada, walaupun mungkin ada sedikit kekangan, tapi saya masih boleh buat,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk Di Sebalik Lencana: Kisah dan Legasi Tan Sri Ayob Khan terbitan Bernama TV malam tadi.

Ayob Khan yang bersara wajib pada 27 Julai lalu selepas hampir 35 tahun berkhidmat dalam pasukan polis turut menegaskan bahawa usaha membanteras rasuah serta memperkukuh integriti tidak boleh dilakukan secara bermusim atau hanya di peringkat bawahan.

Sebaliknya, katanya, perubahan menyeluruh memerlukan iltizam politik yang kukuh, khususnya daripada kepimpinan tertinggi.

Beliau berkata, barisan kepimpinan perlu menjadi contoh dengan menunjukkan ketegasan yang jelas terhadap sebarang bentuk penyelewengan tanpa mengira siapa yang terlibat.

Menurutnya, transformasi sesebuah organisasi tidak akan membuahkan hasil sekiranya pihak atasan sendiri gagal memberikan mesej yang tegas dan konsisten dalam menangani salah laku.

Dalam pada itu, Ayob Khan memberi peringatan bahawa sikap bertolak ansur atau kecenderungan melindungi kesalahan pegawai dan anggota hanya akan membuka ruang kepada berulangnya salah laku.

Katanya, undang-undang perlu dikuatkuasakan secara adil kerana tiada mana-mana individu seharusnya dianggap kebal hanya disebabkan pangkat atau kedudukannya.

Beliau turut berpandangan bahawa masalah rasuah dan kelemahan integriti tidak seharusnya dilindungi atas alasan ia merupakan “rahsia dalaman” sesebuah agensi.

“Kalau kita tidak mengakui masalah yang ada dalam agensi kita, maknanya kita menuju kehancuran, kita bukan bergerak ke hadapan, tetapi ke belakang.

“Begitu juga dalam keadaan negara kita, kalau kita tidak buat perubahan, kita akan ke belakang, negara lain bergerak ke depan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles