Polis Pahang Nafi Genting Highlands Jadi Sarang Kartel Dadah Besar

KUANTAN: Polis Pahang menafikan dakwaan bahawa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kewujudan kartel dadah berskala besar yang didakwa beroperasi di Genting Highlands, Bentong.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata pihaknya sentiasa mengambil serius setiap laporan berkaitan kegiatan menyalahi undang-undang dan akan menjalankan siasatan sewajarnya selepas menerima laporan.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya terdapat kartel dadah besar yang sedang beroperasi di kawasan peranginan berkenaan.

“Sekiranya terdapat laporan polis berhubung sebarang kejadian yang melanggar undang-undang, sama ada di Genting Highlands atau mana-mana lokasi, siasatan tetap akan dijalankan dan tindakan sewajarnya diambil.

“Justeru, untuk menyatakan terdapat kartel dadah besar beroperasi di Genting Highlands, saya menafikannya,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Azry berkata demikian selepas menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pahang di Kuantan, hari ini.

Dalam majlis berkenaan, Ahmad Sukarno Mohd Zahar yang sebelum ini bertugas di Urusetia JPJKK Bukit Aman mengambil alih jawatan Ketua JPJKK Pahang yang baharu.

Beliau menggantikan Mohamad Noor Yusof Ali yang kini dilantik sebagai Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Majlis serah terima tugas itu menyaksikan tanggungjawab berkenaan diserahkan oleh Pemangku Ketua JPJKK Pahang, Muhammed Rizal Kamarudin, kepada Ahmad Sukarno.

Mengulas pelantikan itu, Azry berkata pengalaman lebih 31 tahun dalam pasukan PDRM menjadikan Sukarno individu yang mempunyai keupayaan dan pengetahuan luas untuk menerajui JPJKK Pahang.

Katanya, pengalaman serta kepimpinan yang dimiliki Sukarno diyakini mampu memastikan kesinambungan usaha dan pencapaian yang telah dibina oleh kepimpinan terdahulu.

“Pada masa sama, saya yakin beliau dapat memperkenalkan pendekatan serta inovasi baharu bagi memperkukuh fungsi JPJKK.

“Usaha ini penting bagi memenuhi aspirasi pasukan selain meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap PDRM, khususnya di kontinjen Pahang,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles