Caprice Diperintah Mohon Maaf, Bayar RM220,000 Kepada Ebit Lew

SHAH ALAM: Penyanyi rap, Caprice diarahkan memohon maaf kepada penceramah bebas, Ebit Lew serta membayar ganti rugi RM220,000 selepas Mahkamah Sesyen di sini mendapati beliau bertanggungjawab atas penerbitan kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif pada 2023.

Hakim, Zuhrina Mohamed Nor turut memerintahkan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 40, memadamkan tujuh kenyataan yang diterbitkannya bersama pempengaruh dari Indonesia, Mondy Tattoo dalam tempoh 48 jam.

Lebih tegas, mahkamah turut melarang penyanyi lagu Lenglui itu daripada mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan berkaitan Ebit, atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 42, pada masa akan datang.

Dalam penghakimannya, mahkamah pada masa sama menolak tuntutan balas yang dikemukakan Caprice selepas mendapati tuntutan berkenaan tidak berasas.

Kes itu berpunca daripada penerbitan satu rakaman video pada 15 September 2023 yang menampilkan Mondy sebagai tetamu dalam kandungan yang dimuat naik Caprice.

Ebit sebelum ini mendakwa kandungan tersebut membawa gambaran bahawa beliau melakukan gangguan seksual dan mengambil kesempatan terhadap Mondy, selain melabelkannya sebagai individu tidak bertanggungjawab serta menggunakan agama untuk kepentingan tertentu.

Plaintif mendakwa Caprice menerbitkan kandungan berkenaan secara berniat jahat tanpa terlebih dahulu mendapatkan pengesahan fakta daripada Ebit atau peguamnya.

Penerbitan video tersebut juga didakwa mencetuskan pelbagai komen negatif, kecaman, cacian dan makian daripada pengikut akaun YouTube Caprice terhadap Ebit.

Ebit turut mendakwa kenyataan yang disifatkan sebagai fitnah daripada Caprice dan Mondy menyebabkan beliau berdepan kecaman, ejekan serta diaibkan di khalayak ramai.

Kontroversi itu turut membawa kepada siasatan polis apabila beberapa individu dipanggil pada 29 September 2023 bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual dan fitnah yang membabitkan Ebit, Mondy serta Caprice.

Dalam kes sivil berkenaan, Ebit diwakili peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader, manakala Caprice diwakili peguam, Mohd Rezan Ezra Muhammad Mosinal.

Mengulas keputusan tersebut, Ebit menerusi hantaran di Facebook menzahirkan kesyukuran atas kemenangan dalam saman berkenaan.

“Alhamdulillah syukur pada ALLAH, saya menang saman terhadap Caprice.

“Beliau diperintah memohon maaf atas fitnah dan membayar keseluruhan RM220,000,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles