KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan kejayaan besar dalam membanteras penyeludupan dadah apabila merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM108.35 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sepanjang tempoh Januari hingga Julai tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, nilai rampasan itu meningkat mendadak berbanding RM18.46 juta bagi tempoh sama tahun lalu, hasil operasi khas, risikan dan pemantauan yang dipertingkat di pintu masuk utama negara.
Beliau berkata, sebanyak 108 kes direkodkan dengan 121 individu ditahan, termasuk 42 warga asing.
Dalam tempoh sama, JSJN turut merampas 1.35 tan dadah, didominasi bunga ganja seberat 1.25 tan, selain peningkatan rampasan ketamin.
Menurutnya, risikan yang dijalankan turut membawa kepada lima operasi susulan di Sepang dan Seremban yang merampas 367.83 kilogram bunga ganja bernilai RM29.43 juta, termasuk rampasan terbesar seberat 153.68 kilogram di Mambau, Negeri Sembilan.
Hussein menegaskan PDRM akan terus memperkukuh kerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta agensi penguat kuasa lain bagi memastikan KLIA dan semua pintu masuk negara tidak dijadikan laluan penyeludupan dadah oleh sindiket tempatan mahupun antarabangsa.










