Sultan Pahang: Tiada Kompromi Terhadap Pencerobohan Tanah Haram, Penghasut Perlu Diambil Tindakan

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa kedaulatan setiap inci tanah di negeri itu tidak boleh dikompromi dan mesti dipertahankan daripada sebarang bentuk penerokaan, pencerobohan atau penguasaan secara haram.

Baginda menegaskan penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan secara tegas, adil dan tanpa sebarang pilih kasih kerana kegagalan berbuat demikian hanya akan menjejaskan keadilan serta maruah negeri.

“Apabila undang-undang mula dipilih-pilih untuk dilaksanakan, ketika itulah keadilan mula kehilangan maknanya. Apabila keadilan rebah, maruah sesebuah negeri turut runtuh bersamanya,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Sultan Pahang di Istana Abdulaziz, di sini, hari ini.

Turut berangkat ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Pada istiadat sama, baginda turut mengumumkan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohammad Nizar Najib sebagai Orang Kaya Indera Shahbandar Pahang yang baharu.

Dalam titahnya, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat supaya tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai maklumat tular di media sosial atau naratif yang sengaja dimainkan bagi membangkitkan sentimen tertentu.

Menurut baginda, lebih membimbangkan apabila terdapat pihak yang berpura-pura memperjuangkan kepentingan rakyat, namun hakikatnya mengeruhkan keadaan dengan menggalakkan aktiviti penerokaan haram serta mengambil kesempatan daripada kekeliruan yang berlaku.

Baginda turut menegur tindakan segelintir individu yang berselindung di sebalik pertubuhan atau platform politik, selain mereka yang menggunakan kedudukan serta pengaruh untuk mencampuri urusan penguatkuasaan.

“Perbuatan sedemikian bukan satu perjuangan, sebaliknya merupakan pengkhianatan terhadap kepentingan negeri dan keluhuran undang-undang,” titah baginda.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah mahu mana-mana individu yang menghasut rakyat supaya melanggar undang-undang, melindungi penceroboh, menyebarkan maklumat mengelirukan atau sengaja mengapi-apikan keadaan demi kepentingan tertentu disiasat dan dikenakan tindakan mengikut lunas undang-undang.

Dalam perkembangan sama, baginda memaklumkan Pahang sehingga kini masih mengekalkan lebih 1.59 juta hektar atau kira-kira 44 peratus daripada keluasan negeri sebagai Hutan Simpanan Kekal, selain terus mewartakan kawasan baharu bagi memperkukuh agenda pemuliharaan alam sekitar.

Baginda bertitah, usaha memelihara kawasan hutan itu memerlukan pengorbanan besar daripada kerajaan negeri, namun ia penting demi kepentingan negara serta generasi akan datang.

Justeru, Al-Sultan Abdullah berpandangan kerajaan Persekutuan wajar memberikan sokongan yang lebih adil melalui mekanisme Ecological Fiscal Transfer termasuk penyaluran peruntukan kewangan yang bersesuaian bagi memastikan usaha pemuliharaan tersebut dapat diteruskan secara mampan.

BBerkaitan

Latest articles