BN-PN Didakwa Mendahului Di Awal Kempen, PH Berdepan Cabaran Di N. Sembilan

KUALA LUMPUR: Persefahaman politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dilihat memberi kelebihan kepada kedua-dua gabungan itu untuk mendahului saingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berdasarkan perkembangan kempen sepanjang minggu pertama.

Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming berkata, mesej penyatuan orang Melayu yang dibawa BN dan PN berjaya menarik perhatian sebahagian pengundi sekali gus menjadikan laluan Pakatan Harapan (PH) untuk mempertahankan negeri itu semakin mencabar.

Beliau berkata, walaupun BN hanya bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PN di 11 kerusi, kombinasi sokongan terhadap kedua-dua gabungan itu berpotensi membuka laluan kepada pembentukan kerajaan negeri sekiranya memperoleh majoriti.

“Momentum ketika ini lebih memihak kepada BN dan PN. Mungkin jumlah kerusi dimenangi tidak sebesar PRN Johor, namun peluang untuk membentuk kerajaan bersama tetap ada,” katanya memetik temubualnya bersama program SKOP MG terbitan Malaysia Gazette.

Menurut Kian Ming, sentimen yang tercetus terhadap PH, khususnya DAP, ketika kempen PRN Johor sebelum ini turut memberi kesan kepada corak sokongan pengundi di Negeri Sembilan.

Katanya, perkembangan itu dapat dilihat apabila DAP memilih pendekatan kempen yang lebih sederhana dengan menumpukan kepada memperkenalkan calon serta mengetengahkan rekod pentadbiran kerajaan negeri berbanding menyerang pihak lawan.

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengenai kemungkinan parti itu kehilangan kerusi sekiranya kadar keluar mengundi rendah, Kian Ming berpandangan ia adalah peringatan yang dibuat berdasarkan analisis pola pengundian selain bertujuan menyuntik semangat penyokong PH.

Beliau berkata, sekiranya penyokong PH gagal keluar mengundi dalam jumlah besar, manakala pengundi BN dan PN menunjukkan kehadiran tinggi, beberapa kerusi DAP, PKR dan Amanah berisiko bertukar tangan.

Kian Ming turut menyifatkan DUN Chennah sebagai antara kerusi paling kritikal kerana komposisi pengundi Melayu dan bukan Melayu hampir seimbang, sekali gus menjadikan persaingan di kawasan itu sukar diramal.

Beliau tidak menolak kemungkinan BN akan memperkenalkan strategi pada saat-saat akhir, termasuk menawarkan jawatan Exco kepada calon BN, Siow Kong Choon, sekiranya berjaya menewaskan Anthony Loke.

“Langkah seperti itu boleh mempengaruhi pengundi bukan Melayu yang mahu melihat wakil mereka berada dalam pentadbiran negeri sekiranya BN dan PN membentuk kerajaan. Bagaimanapun, ia juga berisiko mengukuhkan sokongan penyokong Anthony,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles