KUALA LUMPUR: Di sebalik persaingan sengit antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian apabila berkongsi serangkap pantun yang membawa mesej persahabatan dan muafakat.
Pantun empat kerat yang dimuat naik menerusi hantaran di Facebook itu dilihat mengangkat semangat perpaduan meskipun kedua-dua gabungan kini berdepan sebagai pencabar dalam PRN.
“Burung merbah terbang sekawan,
Guruh berdentum membelah awan;
Berbeza langkah, jangan putus kawan,
Selagi muafakat, kita sehaluan.”
Hantaran itu turut disertakan gambar mesyuarat Kabinet yang memperlihatkan Anwar bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Loke yang juga Setiausaha Agung DAP bertanding mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada PRN Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
Seorang lagi anggota Kabinet yang bertanding ialah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mempertahankan kerusi DUN Rantau.
Perkongsian pantun berkenaan hadir ketika hubungan PH dan BN menjadi tumpuan susulan kempen PRN yang menyaksikan kedua-dua gabungan bertanding secara berasingan, walaupun masih bekerjasama dalam Kerajaan Persekutuan.
Pada PRN Negeri Sembilan 2023, PH dan BN bertanding sebagai sekutu.
Sebelum ini, Anwar mengingatkan menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam kerajaan sepanjang tempoh berkempen, malah menegaskan mereka yang berbuat demikian sewajarnya meletakkan jawatan.
Semalam, Zahid pula dilaporkan berkata Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk memecat beliau dan menteri-menteri BN sekiranya tidak lagi berpuas hati dengan mereka.
Pada masa sama, Presiden UMNO itu menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana daripada lapan menteri BN meletakkan jawatan.
Dalam PRN Negeri Sembilan kali ini, PH bertanding di kesemua 36 kerusi DUN, manakala BN meletakkan calon di 25 kerusi menerusi persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di baki 11 kerusi.
Sementara itu, Bersatu yang merupakan komponen PN memilih bertanding menggunakan lambang sendiri di 24 kerusi.










