PRN N. Sembilan: BERJASA Umum Tanding Di DUN Nilai

​KUALA LUMPUR: Parti Jalinan Rakyat Pas-Malaysia (BERJASA) hari ini mengumumkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.10 Nilai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang.

​Presiden BERJASA Malaysia, Ustaz Zamani Ibrahim berkata keputusan itu dibuat bagi memberi pilihan kepada pengundi Melayu Islam di kawasan berkenaan untuk memilih calon Muslim yang berwibawa.

​Beliau menjelaskan bahawa berdasarkan kajian sebelum ini, antara faktor utama kurangnya peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Melayu adalah disebabkan ketiadaan calon Melayu di kawasan yang mempunyai majoriti penduduk Melayu.

​”BERJASA hadir dan tampil mendengar serta memahami isi hati serta hasrat pengundi Melayu Islam di Negeri Sembilan dalam suasana politik tanah air yang penuh cabaran hari ini.

​”Atas dasar prinsip serta memeriahkan sistem demokrasi di Malaysia dan menimbang peri pentingnya memberi pilihan kepada pengundi Melayu Islam, BERJASA dengan ini mengumumkan untuk bertanding di kerusi N.10 Nilai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

​Zamani berkata Nilai dipilih sebagai kawasan permulaan untuk orang Melayu Islam bersepakat meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu, setelah mengambil kira senario sebelum ini yang sering menampilkan semua calon bukan Melayu di DUN tersebut.

​Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa BERJASA tetap komited dengan agenda penyatuan Melayu di negara ini.

​Sehubungan itu, parti berkenaan memutuskan untuk tidak meletakkan calon di kawasan majoriti Melayu yang sudah pun mempunyai calon Melayu yang dikemukakan oleh Barisan Nasional (BN), PAS dan juga WAWASAN.

BBerkaitan

Latest articles