Muhyiddin Dakwa Hak BERSATU Dalam PN Dinafikan, Kesal Tuduhan Annuar Musa

KUALA LUMPUR — Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan kekesalan terhadap dakwaan yang dibuat Tan Sri Annuar Musa terhadap parti itu, sambil menegaskan BERSATU tidak pernah meninggalkan Perikatan Nasional (PN) secara sukarela.

Menurut beliau, BERSATU merupakan parti pengasas PN dan masih kekal sebagai anggota yang sah, namun mendakwa hak-hak parti itu dalam gabungan berkenaan telah dinafikan.

Muhyiddin berkata, rundingan pembahagian kerusi pilihan raya bersama BERSATU tidak diteruskan dan didakwa sengaja dihentikan tanpa alasan yang munasabah.

Beliau turut mendakwa BERSATU tidak dijemput menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang memuktamadkan agihan kerusi antara parti-parti anggota.

“Bagaimana BERSATU boleh dituduh mendahului keputusan mesyuarat sedangkan parti itu sendiri tidak dijemput menghadiri mesyuarat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas isu rundingan dengan Barisan Nasional (BN), Muhyiddin berkata beliau tidak mempertikaikan rundingan tersebut, sebaliknya mempersoalkan proses pelaksanaannya.

Menurutnya, perkara yang melibatkan dasar gabungan sepatutnya terlebih dahulu dibincangkan dan mendapat mandat Majlis Tertinggi PN sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau mendakwa rundingan berkenaan dilakukan tanpa penglibatan semua parti anggota dan hanya dibawa ke Majlis Tertinggi selepas keputusan dicapai, yang menurutnya merupakan satu proses yang tidak teratur.

Muhyiddin berkata sepanjang menerajui PN selama lima tahun, semua keputusan penting termasuk pembahagian kerusi pilihan raya dibuat menerusi rundingan melibatkan semua parti anggota.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa BERSATU menjadi penghalang kepada penyatuan orang Melayu.

Muhyiddin menegaskan perjuangan penyatuan Melayu sentiasa menjadi teras penubuhan BERSATU, malah beliau sebelum ini pernah menggagaskan PN sebagai sebuah gabungan yang menghimpunkan parti-parti Melayu termasuk UMNO bersama parti pelbagai kaum.

Menurut beliau, cadangan itu bagaimanapun tidak mendapat sambutan daripada UMNO, yang ketika itu enggan menyertai PN sebagai parti komponen kerajaan.

Beliau juga mendakwa tindakan PAS menjalin kerjasama dengan UMNO menyebabkan hubungan dengan BERSATU terputus dan parti itu diketepikan daripada PN.

Muhyiddin berpandangan perkembangan tersebut bukan merupakan penyatuan Melayu yang sebenar, sebaliknya hanya penjajaran semula kuasa politik.

Walaupun begitu, beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada PN dan menegaskan BERSATU akan meneruskan perjuangannya secara sendiri tanpa menoleh ke belakang.

BBerkaitan

Latest articles