AMPANGAN: Perikatan Nasional (PN) melaungkan tekad untuk menolak dominasi DAP dan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, sambil menyifatkan kerjasama politik PH-BN di peringkat negeri sebagai satu jajaran yang tidak direstui oleh rakyat.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa penolakan rakyat terhadap PH kini kian ketara, dan gelombang perubahan itu diyakini bakal bermula dari Negeri Sembilan.
”Lagi hebat dia menakutkan pengundi Cina dengan Pas, gelombang Pas terus marak dari Kelantan bergerak ke Terengganu, Kedah, Perlis, Pahang, Perak, dan kali ini gelombang yang sama akan memendamkan PH di Negeri Sembilan, insya-Allah!” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PN Negeri Sembilan di Kompleks Pas Negeri Sembilan (KOMPAS), Kampung Ismail, malam tadi.
Mengulas mengenai isu pentadbiran, Tuan Ibrahim turut mengingatkan para pengundi tentang kepentingan memilih pemimpin yang berintegriti dan berkelayakan, dengan merujuk kepada hadis sahih mengenai amanah.
Beliau menjelaskan bahawa kegagalan memilih pemimpin yang selayaknya hanya akan membawa kepada kemunduran dan kehancuran sesebuah negeri.
”Nabi pesan, bila mana amanah itu dikhianati, tunggulah kehancurannya. Sahabat bertanya bagaimana ia dikhianati ya Rasulullah? Jawab Nabi, bila sesuatu jawatan diberikan kepada orang yang tidak layak, maka tunggulah kehancurannya.
”Sebab itu, kita menawarkan kepada rakyat Negeri Sembilan calon-calon yang dicalonkan ini bagi menggambarkan wibawa kita,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai pengumuman baki calon PN yang menyempurnakan keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan 25 calon mereka semalam.
”Barisan Nasional mengumumkan 25 DUN. Puzzle (teka-teki) itu tidak lengkap. Dan kita melengkapkan puzzle tersebut dengan mengumumkan 11 lagi DUN yang akan ditandingi oleh Perikatan Nasional.
”Kami kemukakan calon terbaik untuk tuan-tuan, tanggungjawab tuan-tuan pula adalah pilih calon yang telah kita kemukakan ini,” seru beliau kepada para penyokong yang hadir memenuhi ruang pekarangan kompleks tersebut.










