KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menepis dakwaan kononnya beliau meninggalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat kerana mahu mencari laluan lebih mudah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Sebaliknya, Menteri Besar Negeri Sembilan itu menegaskan keputusan untuk bertanding di DUN Linggi dibuat atas kehendaknya sendiri dengan hasrat membawa khidmat kepada penduduk kawasan berkenaan.
Menurut Aminuddin, beliau hanya menyerahkan tanggungjawab mempertahankan DUN Sikamat kepada Setiausaha Politiknya, Nor Azman Mohamad, yang diumumkan sebagai calon PH bagi kerusi tersebut.
“Saya bukan lari dari Sikamat. Saya serahkan baton kepada Ustaz Norazman. Saya sudah berpesan supaya menjaga Sikamat dengan baik kerana saya amat menyayangi kawasan itu.
“Saya ke Linggi atas kehendak sendiri untuk berbakti kepada penduduk di sana. Jika diberi kemenangan, saya akan bekerja lebih keras demi kesejahteraan rakyat Linggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada Selasa lalu, PH mengumumkan Aminuddin akan bertanding di DUN Linggi, sekali gus menamatkan khidmatnya sebagai wakil rakyat Sikamat selepas memegang kerusi itu selama empat penggal sejak 2008.
Sebelum ini, beliau sendiri mengakui Linggi bukan kerusi mudah untuk dimenangi kerana kawasan itu sekian lama menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Namun, katanya, keputusan berpindah ke kerusi berkenaan dibuat selepas pertimbangan rapi sebagai sebahagian daripada strategi PH untuk merampas kawasan tersebut.
Dalam masa sama, Aminuddin mengakui DUN Sikamat mempunyai nilai sentimental yang besar dalam perjalanan politiknya.
Beliau berkata, kemenangan di Sikamat pada 2008 menjadi titik permulaan kerjaya politiknya, daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang sehingga diberi kepercayaan memegang jawatan Menteri Besar.
Menurutnya, sepanjang berkhidmat di kawasan itu, beliau bersama pasukannya pernah berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan peruntukan ketika menjadi pembangkang, namun tetap berusaha mendapatkan bantuan dan melaksanakan program demi kepentingan penduduk.
Katanya lagi, hubungan yang terjalin dengan masyarakat Sikamat bukan sekadar antara wakil rakyat dan pengundi, malah sudah dianggap seperti sebuah keluarga.
“Setiap kali pulang ke Sikamat untuk program bersama penduduk, saya rasa seperti pulang ke kampung sendiri. Keluarga saya juga sudah begitu akrab dengan masyarakat di sana,” katanya.










