KUALA PILAH: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan DAP tetap berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan serta menghormati kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan hak istimewa orang Melayu serta Bumiputera, sekali gus menolak dakwaan parti itu mengabaikan kepentingan kaum dan agama.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pendirian berkenaan bukan sesuatu yang baharu kerana ia telah dipersetujui sejak era Pakatan Rakyat (PR) lagi dan terus menjadi asas kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan hari ini.
Menguatkan hujahnya, Anwar mengimbau detik ketika beliau memimpin Pakatan Rakyat yang menggabungkan PKR, DAP dan PAS, dengan semua pemimpin utama gabungan itu menandatangani satu dokumen rasmi yang memperakui komitmen mempertahankan prinsip-prinsip utama Perlembagaan Persekutuan.
“Saya masih ingat ketika memimpin Pakatan Rakyat. Saya sebagai Presiden PKR, Lim Kit Siang sebagai Setiausaha Agung DAP dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS, kami bertiga menandatangani dokumen itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Dataran Melang,, malam tadi.
Menurut Anwar, dokumen tersebut dengan jelas memperuntukkan komitmen semua parti untuk mempertahankan empat perkara utama yang menjadi tunjang negara, iaitu institusi Raja Berperlembagaan, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
Katanya, prinsip yang dipersetujui itu tidak pernah berubah malah terus menjadi asas kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
“Ini adalah ikrar kita ketika membentuk kerajaan dan prinsip-prinsip yang sama juga saya sembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa DAP sendiri telah berulang kali menegaskan pendirian menghormati Perlembagaan Persekutuan menerusi ketetapan yang diluluskan dalam konvensyen parti itu.
Sehubungan itu, Anwar menggesa semua pihak supaya menghentikan politik fitnah dan tidak memanipulasi isu kaum serta agama untuk meraih sokongan dalam kempen pilihan raya.
Beliau berkata, persaingan politik perlu berlandaskan fakta dan rekod sebenar, bukannya dengan memutarbelitkan sejarah atau menimbulkan sentimen yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.










