KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur tindakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang didakwa menggunakan isu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai bahan kempen politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Anwar menyifatkan pendekatan tersebut sebagai tidak wajar kerana projek berkenaan merupakan inisiatif bersama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang sedang giat dilaksanakan.
Beliau menjelaskan, proses berkaitan JS-SEZ melibatkan peringkat tertinggi antara Malaysia dan Singapura, bukan isu yang diputuskan di peringkat negeri semata-mata.
“Perkara ini melibatkan Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Singapura. Belum sampai ke tahap Menteri Besar,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena, hari ini.
Menurutnya, projek berkenaan kini sedang berjalan dengan kos pelaksanaan yang besar serta turut disokong oleh dana dan bantuan Kerajaan Persekutuan.
“Tak perlu dijadikan isu politik sampai mencela. Projek ini sedang berjalan dan kita sendiri yang bantu dari segi peruntukan,” katanya lagi.
Anwar turut menyifatkan tindakan mempolitikkan isu pembangunan strategik itu sebagai tidak berasas, selain menyindir ia sebagai langkah yang kurang tepat dalam konteks kempen.
“Sudahlah tidak berterima kasih, guna pula masa kempen untuk mencela. Ini tidak kena dan tidak cerdik,” ujarnya.
Semalam, Onn Hafiz dilaporkan menggesa Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pengumuman pelan induk JS-SEZ bagi memastikan momentum ekonomi Johor terus berkembang.
Beliau berkata pelan tersebut sudah lama siap dan sepatutnya diumumkan lebih awal bagi memberi keyakinan kepada pelabur serta memperjelas hala tuju pembangunan negeri.
Menurutnya lagi, pelan berkenaan sebelum ini disasarkan untuk diumumkan pada penghujung 2025 sebelum ditetapkan semula ke 30 Mac, namun sekali lagi tertangguh.










