Lantikan Azam Baki Di NFCC Kekal Sah Hingga 2027, Hanya Agong Ada Kuasa Batalkan

PUTRAJAYA: Keanggotaan Tan Sri Azam Baki sebagai Ahli Lembaga Penasihat Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) tidak boleh dibatalkan oleh mana-mana pihak kecuali Yang di-Pertuan Agong, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menjelaskan, pelantikan tersebut masih sah sehingga tahun 2027 dan tertakluk sepenuhnya kepada perkenan Istana Negara untuk sebarang penamatan awal.

“Lantikan itu kekal sehingga 2027 dan kuasa untuk membatalkannya hanya terletak kepada Yang di-Pertuan Agong. Ia juga tidak ada kaitan dengan kedudukan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan rasional pelantikan Azam ke dalam NFCC, dengan merujuk kepada beberapa isu yang pernah dikaitkan dengannya termasuk dakwaan berkaitan urusan korporat dan pemilikan saham.

Dalam masa sama, Timbalan Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Mike Chong Yew Chuan turut menggesa kerajaan memberikan penjelasan terperinci berhubung pelantikan tersebut yang didakwa menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang ramai.

Menurutnya, perkara itu menjadi perhatian umum kerana masih wujud desakan daripada pelbagai pihak termasuk NGO yang mahukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan berkaitan isu korporat yang dikaitkan dengan individu terbabit.

Sebelum ini, Ketua Pengarah NFCC, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil menjelaskan bahawa pelantikan Azam sebagai ahli Lembaga Penasihat bagi tempoh 20 September 2024 hingga 19 September 2027 dibuat atas kapasiti peribadi dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau turut menegaskan pelantikan itu tidak bergantung kepada jawatan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, sebaliknya kekal berkuat kuasa sehingga tamat tempoh kecuali ditamatkan lebih awal oleh pihak Istana.

Tambahnya, kehadiran Azam dalam Mesyuarat Lembaga Penasihat NFCC pada 30 Jun lalu adalah selaras dengan peruntukan Akta 822 kerana beliau merupakan anggota sah lembaga berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles